Squash

Nicol mulakan kempen Al-Ahram dengan kemenangan

Ratu skuasy Malaysia dan pemain No.3 dunia Datuk Nicol David memulakan kempen dengan bergaya apabila melayakkan diri ke suku akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Al-Ahram di Cairo semalam.

Pemain berasal Pulau Pinang itu hanya mengambil masa 28 minit untuk menundukkan pemain England Fiona Moverley 11-8, 11-7, 11-9 dalam gelanggang kaca di Piramid Giza untuk bertemu Sarah-Jane Perry dari England di suku akhir, rabu ini.

Pemain England itu mencipta kejutan apabila menewaskan pilihan kelima Camille Serme dari Perancis 11-4,5-11,11-6,11-8 di pusingan pertama.

Mengenai kemenangannya, Nicol berkata dia lega kerana berjaya melayakkan diri terutamanya selepas menerima saingan sengit dari Fiona.

“Dia berjaya membuat beberapa pukulan yang bagus tetapi saya berjaya bergerak ke bola awal, membuat pukulan yang menewaskannya dan mengambil peluang saya dengan awal juga,” kata Nicol dipetik dari laman web kejohanan; www.alarhamsquashopen.com.

Pemain No.2 negara Low Wee Wern memberikan saingan sengit kepada pemain No.8 dunia Omneya Abdel Kawy sebelum tewas 8-11, 3-11, 16-14, 12-10, 6-11 dalam satu lagi perlawanan pusingan pertama yang berlangsung selama 48 minit.

Other posts by