Mungkinkah Lee Chong Wei beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020? Semuanya tidak mustahil, terutamanya jika Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membuat keputusan untuk menukar format 21 mata dan tiga set kepada 11 mata dan lima set.
Jika mereka menukar, pemain badminton No.1 dunia itu yang merangkul pingat perak di Rio de Janeiro bulan lalu, percaya dia mungkin boleh meneruskan kerjayanya.
“ Tiada yang sah lagi, tetapi jika benar berlaku perubahan saya mungkin boleh beraksi di Olimpik Tokyo,” kata Chong Wei.
“Lin Dan juga mungkin beraksi kerana sistem 11 mata itu bermakna perlawanan yang lebih singkat…yang akan lebih sesuai untuk pemain senior seperti kami.
“Sudah tentu kami mempunyai pengalaman. Bermain di perlawanan yang lebih singkat pastinya lebih bagus kerana saya percaya kami akan mengawal bulu tangkis dengan lebih baik.”
Chong Wei yang berusia 34 tahun bulan hadapan, turut mengakui bahawa “ianya tidak mustahil untuk dia mewakili Malaysia di Piala Thomas 2018”.
“Keadaan fizikal saya masih baik dan saya tiada masalah untuk berlatih di bawah Hendrawan dan (Tey) Seu Bock kerana saya sedang bersedia untuk Kejohanan Dunia tahun depan,” kata Chong Wei.
“Masih banyak yang saya perlu belajar dari Hendrawan, yang juga merupakan juara dunia dahulu.
“Selepas itu, jika keadaan saya masih bagus, saya tidak rasa ianya satu masalah untuk saya mewakili Malaysia dalam satu lagi Piala Thomas.”
Untuk sekarang, pemain berasal dari Pulau Pinang itu perlu fokus untuk tugasan seterusnya – Terbuka Jepun di Tokyo pada 20-25 September.
Ianya akan menjadi kejohanan pertama disertai Chong Wei sejak tewas kepada Chen Long di perlawanan akhir Olimpik bulan lalu.
Chong Wei yang telah memenangi Terbuka Jepun sebanyak lima kali – 2007,2010,2012,2013,2014 – merupakan pilihan utama dan akan bertemu Boonsak Ponsana dari Thailand di pusingan pertama.
Dia dijangka mara dengan mudah ke suku akhir di mana dia dijadualkan bertemu pilihan ketujuh Tommy Sugiarto dari Indonesia.
Pemain No.2 Malaysia Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan pemain bebas Zulfadli Zulkiffli adalah pemain lain yang akan mewakili Malaysia dalam acara perseorangan.
Pemain No.26 dunia, Iskandar akan bertemu H.S Prannoy dari India di pusingan pertama sementara pemain No.35 dunia Zulfadli akan bertemu pemain No.11 dunia Hans-Kristian Vittinghaus dari Denmark.
Other posts by Khairul Nizam