Originally written in English. Translated by Khairul Nizam
Ke hadapan wira Paralimpik Negara,
11/9/2016 – Hari yang menakjubkan! Aku tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan sedang dirasai di Malaysia sekarang. Ada kegembiraan, ada kebanggaan dan juga rasa terinspirasi. Pendek katanya, kami semua di tanah air sangat berbangga dengan pencapaian kalian di Rio de Janeiro. Untuk bertahun, kita idamkan pingat emas. Kami mahukan Jalur Gemilang berkibar megah. Kami mahu mendengar ‘Negaraku’ dimainkan di temasya sukan terbesar di dunia.
Selepas beberapa kali percubaan, dan setiap kali itu juga kita semakin hampir namun dikecewakan di detik-detik terakhir. Ianya terjadi kepada atlit Olimpik dan Paralimpik kita. Namun, kurang 24 jam, kita berjaya merangkul bukan satu, tetapi TIGA pingat emas. Selepas penantian sekian lama, akhirnya yang diidamkan berjaya dicapai. Kesedihan dan kekecewaan bertahun-tahun akhirnya ditamatkan oleh tiga insane luar biasa. Tiga pingat emas. Menakjubkan.
Ridzuan Puzi. Larian anda di Doha, Qatar Disember lalu, menaikkan nama Malaysia dan sangat mudah untuk kau tewas kepada tekanan dalam keadaan sebegitu. Namun, kau buktikan kepada kami sebaliknya. Bahkan, kau terus berusaha dan terus berlari lebih pantas sepanjang sembilan bulan lalu. Di pentas terbesar dalam hidup kau, kau tahu sasaran kau dan kau gapai dengan penuh bergaya sambil memecahkan rekod Sukan Paralimpik. Kami di tanah air begitu berbangga mendengar ulasan pengulas yang begitu gembira dengan kemenangan kau saat kau melintasi garisan penamat acara 100m itu, yang pastinya akan menjadi detik bersejarah bagi bidang sukan di Malaysia. Sekian lama kami saksikan penguasaan atlit negara lain di balapan, tapi kini kami tahu perasaan rakyat Jamaica yang melihat larian pantas di balapan. Cuma bezanya, Mr Dash kami berlari dengan Jalur Gemilang di dadanya.
Ziyad Zolkefli. Percaya atau tidak, kaulah insan yang mengubah nasib Paralimpik di Malaysia. Seperti yang didedahkan oleh YB KJ semalam, kejayaan kau di Kejohanan Olahraga Dunia pada tahun 2013 merupakan titik perubahan bagaiman Malaysia memberi penghargaan kepada wira Paralimpik. Kau lah yang menyakinkan KJ untuk melihat atlit Para tanpa perbezaan. Kaulah yang membuka jalan dan menjadikan sukan para lebih bernilai dan mudah disertai oleh rakan-rakan kelainan upaya di Malaysia. Jika itu tidak cukup, kau pecahkan pula rekod dunia sebanyak dua kali, dan membawa pulang emas kedua buat Malaysia di Paralimpik! Menurut bapa kau, seorang guru berbangsa India sangat yakin dengan kau, sepanjang zaman persekolahan. Dia juga memberitahu kami bahawa seorang cikgu berbangsa Cina menemui bakat kau dan menggesa kau menyertai bidang sukan. Apa yang menakjubkan, dia juga bagitau kami mengenai kisah kau yang menjual kuay teow suatu masa dahulu sebelum bergiat aktif dalam bidang sukan. Kau bukan saja memenangi emas, Ziyad – kisah kau mengajar kami apa ertinya menjadi rakyat Malaysia.
Abdul Latif Romly. Ini kisah paling gila. Kau menang pingat emas SUKMA dengan catatan terbaik peribadi sejauh 7.46m, menewaskan atlit biasa lain di Malaysia. Malam semalam, kurang dua bulan dari kisah menakjubkan di SUKMA, kau mengejutkan dunia dengan MENGHANCURKAN rekod dunia TIGA KALI, sebelum membawa pulang pingat emas ketiga buat Malaysia. Dari 7.46 kepada 7.54 kepada 7.60 – itu penambahan 0.14 meter dalam satu hari. Cuba kau bagitau kami, bagaimana kau lakukannya? Rekod kebangsaan untuk atlit biasa dalam acara lompat jauh adalah 7.88m, dan kini kau hanya kurang 0.18m sahaja lagi. Baru berusia 19 tahun, tiada apa yang mampu menghalang kau lagi Latif. Terima kasih kerana menunjukkan kepada kami rakyat Malaysia apa yang boleh kami capai, jika kita melihat kekuatan kita dan menolak kelemahan kita. Kisah kau tidak ternilai. Dunia sukan kita akan mendapat kebaikannya menerusi kisah ini, jenama terkenal dan syarikat yang percayakan atlit tempatan akan mendapat kelebihan dari ini. Namun, yang paling akan mendapat kelebihan dari kemenangan ini adalah golongan kelainan upaya di Malaysia.
Mari kita lihat realiti. Sebagai satu negara, kita sering memandang rendah golongan OKU. Aku tidak katakan kita mengabaikan mereka terus, tetapi ramai dari kita pasti setuju yang kita tidak membantu menjadikan hidup golongan OKU ini lebih selesa.
Polisi yang ada nampak cantik di atas kertas, namun hakikatnya ia tidak sampai kepada sebilangan besar golongan OKU di luar sana. Dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh Jurnal Antarabangsa mengenai Sains Sosial dan Kemanusiaan tahun lalu, Rezaul Islam menggambarkan golongan OKU sebagai “ salah satu dari kumpulan yang paling menjadi sasaran mudah dalam populasi Malaysia” – satu gambaran yang menunjukkan kesusahan yang dihadapi mereka saban hari.
Walaupun tekanan dari pelbagai NGO dan badan sukarela, kita terus mendiskriminasi mereka di pelbagai peringkat. Golongan OKU sukar untuk mendapat peluang untuk berkerja, perumahan dan struktur sosial. Berapa banyak kemudahan awam yang ‘mesra OKU’, terutamanya di luar Kuala Lumpur? Berapa ramai golongan OKU yang menjawat jawatan tertinggi dalam mana-mana syarikat di Malaysia walaupun mereka mempunyai keupayaan setanding dengan orang biasa? Berapa ramai golongan OKU yang mempunyai akses kepada sistem pendidikan yang mampu membantu memaksimumkan pengajian mereka? Bahkan, berapa ramai golongan OKU yang tidak didaftarkan, kerana sikap kita yang tidak mahu membantu untuk mengesan dan memberikan bantuan kepada semua golongan OKU di luar sana? Jika ini penyisihan sosial sama ada kita sedar atau tidak, ia memberi kesan kepada kemampuan mereka untuk hidup saban hari.
https://www.youtube.com/watch?v=YBhCzZEbWCo
Walaupun polisi tidak membantu mereka sepenuhnya, kita perlu sedar dan terima bahawa kita, sebagai satu masyarakat, sering mengecewakan mereka Kita menolak untuk menerima berkerja, kerana kita suka membuat andaian mengenai kemampuan mereka berkerja. Kita tidak mahu mengambil tahu masalah mereka di sekolah, kerana kita suka membuat andaian sikap mereka kerana mereka kanak-kanak. Kita sering ragu-ragu untuk memberikan mereka kemudahan perumahan, kerana membuat andaian mereka tidak mampu dari segi kewangan. Kita merupakan antara punca menjadikan hidup mereka, sama ada kita suka atau tidak.
Ridzuan, Ziyad dan Latif – Aku harap kalian tahu apa maksud kemenangan kalian kepada golongan OKU di negara kita. Kami telah mengecewakan kalian sebagai satu negara dan masyarakat saban hari, tapi kalian tidak pernah menyerah kalah. Kami susahkan hidup kalian, tetapi kalian sering melawan nasib. Kami membuat andaian secara sedar atau tidak kepada kalian, tetapi kalian menepisnya setiap kali, dengan setiap langkah yang diambil, setiap peluh yang menitis ketika berlatih. Kalian buktikan kami salah, setiap kali kalian mara, dengan Jalur Gemilang di dada, di atas gelanggang. 24 jam yang lalu merupakan penyudah yang manis sekali.
Tiga Pingat Emas
Tiga Rekod Dunia
Satu Rekod Paralimpik
Tiga Insan LUAR BIASA
Ini janji aku kepada kalian. Tangisan kalian di atas podium akan menjadi satu permulaan kepada kehidupan yang lebih selesa kepada golongan OKU di luar sana. Ia akan menjadi titik permulaan untuk masyarakat kita menerima, membantu dan melayan golongan OKU di luar sana dengan baik. Ianya perlu berlaku. Ianya akan berlaku.
Semoga dalam hari yang mendatang ini kita akan memperoleh lebih banyak kejayaan dari kontinjen negara. Namun, untuk sekarang, terima kasih wira negara. Terima kasih kerana membuka mata kami.
#AndaLuarBiasa
Yang ikhlas,
Rakyat Malaysia
Other posts by Keeshaanan Sundaresan