Beberapa atlit Malaysia telah beraksi, antaranya Mohd Afiq Afifi dalam acara berbasikal 4km , Nasharuddin Mohd dalam pusingan kelayakan acara olahraga 400m , Faizal Aideal (100m kategori T13) dan Mohd Azwar Abu Bakar (Ping Pong).
Walaupun atlit-atlit ini tidak berjaya melayakkan diri ke penentuan pingat, namun mereka memberikan aksi terbaik untuk mengharumkan nama negara. Contohnya seperti Afiq Afify yang menyertai acara berbasikal trek. Ini merupakan kali pertama Malaysia beraksi dalam acara berbasikal di Sukan Paralimpik.
Satu perkara yang jelas, tidak ramai rakyat Malaysia yang menyedari bahawa temasya ini telah bermula dan memberikan sokongan habis-habisan kepada atlit Paralimpik kebangsaan ini. Aura dan sokongannya tidak sama seperti ketika Olimpik lalu.
Sudah sampai masa kita mengubahnya.
Tiga atlit utama yang dikatakan prospek emas negara akan beraksi pada hari Ahad ini (waktu Malaysia). Inilah masanya kita perlu memberikan sokongan habis-habisan dan memeriahkan suasana di media sosial sama seperti ketika bergu campuran negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, bergu lelaki negara Tan Wee Kiong-Goh V Shem dan bintang badminton negara Datuk Lee Chong Wei beraksi di perlawanan penentuan pingat emas di Sukan Olimpik lalu.
Tiga atlet ini, Mohd Ridzuan ‘Mr.Dash’ Puzi (100m kategori T36), Abdul Latif Romly (Lompat Jauh kategori T20) dan Ziyad Zolkefli (Lontar Peluru kategori F20) akan beraksi pada hari Ahad ini.
Ridzuan Puzi akan beraksi pada pukul 4.30 pagi Ahad ini, Ziyad Zolkefli pula akan beraksi pada pukul4.45 pagi Ahad sementara Abdul Latif Romly yang juga merupakan pembawa bendera kontinjen negara akan beraksi pada pukul 9.30 malam hari Ahad ini.
Mereka dan rakan-rakan mereka memerlukan sokongan anda. Sejarah mungkin tercipta Ahad ini di mana Malaysia mempunyai peluang untuk membawa pulang emas dari Rio de Janeiro dalam kejohanan bertaraf antarabangsa ini. Mungkin juga atlit-atlit ini akan memecahkan rekod dunia apatah lagi Ziyad Zolkefli pernah memecahkan rekod dunia namun tidak dikira kerana ia hanya dilakukan ketika sesi latihan.
Ayuh rakyat Malaysia, kita berikan sokongan kita habis-habisan kepada atlit Paralimpik kita. Jangan apabila mereka sudah berjaya baru kita mahu bersuara. Jangan ulangi kesilapan kita apabila hanya mengetahui kejayaan Ridzuan Puzi di Kejohanan Olahraga Dunia IPC setahun selepas kejayaannya. Ini momen emas kita. Kita perlu saksikan detik bersejarah ini! Ayuh salurkan jiwa dan sokongan anda kepada atlit luar biasa ini!
P.S: Artikel ini merupakan pendapat peribadi dan luahan penulis kepada semua rakyat Malaysia.
Other posts by Khairul Nizam