Squash

Wee Wern tidak sabar bertemu Nazihah di separuh akhir

Bekas pemain No.5 dunia Low Wee Wern telah memberikan cabaran kepada pemain muda Nazihah Hanis menjelang pertemuan mereka di separuh akhir Kejohanan Skuash Universiti Dunia.

Pilihan utama Wee Wern dan pilihan bersama ketiga-keempat Nazihah bakal bertembung dalam pertemuan senegara selepas masing-masing memenangi perlawanan suku akhir mereka di Pusat Skuash Negara di Bukit Jalil, pada hari Selasa.

Pemain No.27 dunia Wee Wern menang 11-6,11-5,11-9 ke atas pemain China Li Dongjin di suku akhir sementara Nazihah mengambil masa 24 minit untuk menundukkan pemain Korea Selatan Eum Hwa-yeong 11-8, 11-6, 11-7.

Dan kini Wee Wern telah mencabar Nazihah untuk memberikan permainan terbaiknya dalam aksi separuh akhir nanti.

“Saya tidak pernah bermain menentang Nazihah, tetapi ianya bagus untuk Malaysia kerana mempunyai dua wakil di separuh akhir,” kata Wee Wern.

Nazihah turut berjanji akan memberikan aksi terbaiknya. “Jarang saya berpeluang untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia seperti Wee Wern… saya tidak sabar,” kata pemain yang berasal dari Kedah itu.

Dalam saingan lelaki, pemain No.2 negara Ivan Yuen bermain dua perlawanan dalam masa sehari untuk menempah tempat ke separuh akhir.

Pemain Malaysia itu menewaskan pemain Korea Selatan Park Jong-myoung 11-2, 11-9, 11-8 dalam perlawanan pertama di pusingan ketiga dan kemudiannya menundukkan pemain Hong Kong, Yeung Ho Wai 11-7, 11-2, 11-8 di suku akhir.

“Saya bermain dengan baik di suku akhir dan saya berharap kemenangan ini akan berterusan,” kata pemain No.53 dunia itu yang akan bertemu Joshua Masters di separuh akhir.

Other posts by