Pemenang pingat perak Sukan Olimpik untuk Malaysia, Datuk Lee Chong Wei, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying berazam untuk melatih generasi pemain badminton seterusnya ekoran persembahan hebat mereka di Olimpik Rio baru-baru ini.
Kesemua mereka berkata mereka akan berbincang dengan Majlis Sukan Negeri di Pulau Pinang dan Melaka untuk melihat jika mereka boleh meminjamkan kepakaran dan pengalaman mereka dalam melatih pemain muda dalam sukan berkenaan.
“Kami akan melihat apa kam boleh lakukan dan kami berharap, apabila kami bersara, kita akan ada pelapis yang bagus untuk olahragawan dan olahragawati negara,” kata Chong Wei dalam satu sidang media di Komtar, semalam.
Ditanya jika dia akan menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020, Chong Wei berkata jika fizikalnya masih lagi boleh bertahan, dia mungkin akan menyertai temasya sukan berkenaan, tetapi kini tumpuannya adalah kepada Kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Glasgow, Scotland tahun depan.
“Saya kini tengah menumpukan pada Terbuka Jepun yang akan berlangsung pertengahan bulan ini, dan selepas ini saya akan menumpukan pada Kejohanan Badminton Dunia 2017,”ujar beliau.
Chong Wei berkata, setakat ini, “pemain terbaik perseorangan lelaki negara adalah Iskandar Zulkarnain, dandia mempunyai masa depan yang cerah”.
Sementara itu, Peng Soon dan Liu Ying berkata mereka berbangga dengan pingat perak Olimpik mereka kerana mereka dianggap sebagai pasukan bukan pilihan di Olimpik Rio.
“Ianya satu kejayaan buat kami, walaupun kami mengakui kami sedikit lemah dalam perlawanan akhir menentang gandingan Indonesia Liliyana Natsir dan Tontowi Ahmad, tetapi ianya satu pengalaman berguna buat kami,” kata Peng Soon.
Liu Ying berkata dia merasa gembira kerana dapat membanggakan ibu bapanya dengan pencapaiannya sebagai pemain badminton.
Sebelum ini dia telah menulis di laman Facebooknya mengenai perasaan menakjubkan untuk berdiri di atas podium di majlis penyampaian pingat Olimpik bagaikan satu mimpi, kerana bergu campuran itu digandingkan tanpa perancangan rapi.
“Sejak kecil, saya selalu mahu menjadi pemain badminton profesional dan kini saya telah berjaya menjadi apa yang saya impikan. Ianya bagaikan mimpi menjadi kenyataan,” katanya.
Peng Soon dan Liu Ying juga berkata selepas Olimpik, fokus utama mereka juga sama seperti Chong Wei – Kejohanan Badminton Dunia 2017.
Ditanya jika mereka mensasarkan pingat emas di Olimpik Tokyo 2020, Liu Ying berkata mereka akan berusaha sebaik mungkin dan mara selangkah demi selangkah.
“Kami akan berusaha sebaik mungkin, dan pastinya, semua pemain badminton mahu memenangi pingat emas di Sukan Olimpik,” katanya.
Ketiga-tiga mereka sebelum ini disambut lebih 100 orang yang menantikan ketibaan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsan Pulau Pinang.
Kerajaan negeri Pulau Pinang telah memberikan ganjaran sebanyak RM 150,000 kepada Chong Wei, RM 100,000 kepada Peng Soon dan RM 25,000 Kepada Liu Ying di atas pencapaian mereka di Olimpik.
Other posts by Khairul Nizam