Featured, Rio 2016, Sports

Misi Rio belum berakhir: Ayuh kontinjen Paralimpik Malaysia!

Pagi ini aku berkesempatan untuk ke majlis pelepasan kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik di Rio 2016. Bersama wira-wira negara ini, aku rasa sesuatu yang berbeza. Aku rasakan semangat dan ketulusan mereka untuk mengharumkan nama negara.

IMG_8485

Malaysia kali ini menghantar seramai 21 atlit bersama 19 pegawai pengiring ke temasya sukan ini. Bagi yang tidak tahu, sama seperti Sukan Olimpik, Malaysia juga belum pernah memenangi pingat emas di temasya Sukan Paralimpik. Pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Paralimpik setakat ini adalah pingat perak yang disumbangkan Hasihin Sanawi menerusi acara memanah (Recurve Individu Lelaki W1/W2) di Sukan Paralimpik London 2012. Selain Hasihin, seorang lagi atlit Paralimpik negara yang menyumbang pingat di London adalah Muhammad Ziyad Zolkefli yang merangkul pingat gangsa acara lontar peluru.

Namun, tahun ini atmosferanya berbeza. Bahkan, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut percaya bahawa atlit Paralimpik berkemampuan menamatkan kemarau pingat emas untuk Malaysia berbanding atlit Sukan Olimpik.

Mohamad_Ridzuan_Mohamad_Puzi.transformed
Photo credit: Bharian.com

Untuk temasya kali ini, kita ada dua jaguh dunia dalam acara mereka. Pertama, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi atau lebih dikenali sebagai Mr. Dash. Ridzuan Puzi merupakan pemenang pingat emas dalam acara 100 meter di Kejohanan Dunia Olahraga IPC di Doha pada tahun 2015. Berkat kejayaannya, Ridzuan Puzi dianugerahkan sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan di Anugerah Sukan Negara yang lalu.

Photo credit: Zimbio.com
Photo credit: Zimbio.com

Selain Ridzuan Puzi, seorang lagi prospek emas negara adalah Abdul Latiff Romly yang akan bertanding dalam acara lompat jauh di Rio. Anak jati Perlis ini memenangi pingat emas di temasya yang sama dan memecahkan rekod kejohanan di Doha itu. Pembawa bendera kontinjen negara di Sukan Paralimpik ini turut memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh di Sukma Sarawak baru-baru ini menewaskan atlit-atlit biasa.

Baru-baru ini, dilihat semakin ramai pengguna media sosial memperkatakan mengenai atlit Sukan Para ini. Ramai yang berkongsi berita mengenai kejayaan Ridzuan Puzi di Doha dan juga kisah mengenai seorang lagi atlit Para negara, Felicia Mikat yang dikatakan tidak diberi penghargaan oleh kerajaan. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa kisah itu semua berlaku pada tahun lalu. Ramai yang menyatakan kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan telah menganak tirikan atlit Para negara.

Namun, tahukah kita bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menyediakan ganjaran kepada atlit Paralimpik yang mempunyai nilai yang sama dengan atlit Sukan Olimpik? Malaysia juga antara yang berani untuk mencadangkan supaya Sukan SEA dan Sukan Para Asean berjalan serentak, namun cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh Persekutuan Sukan Asia Tenggara.

IMG_8517
Ridzuan Puzi menitiskan air mata sebelum berlepas ke KLIA

Kembali kepada majlis pelepasan atlit tadi, di saat aku bersalaman dan mengucapkan selamat berjaya kepada Ridzuan Puzi, dia mengalirkan air mata. Tidak,aku tidak mengenali anak muda ini dengan rapat, tetapi dia tetap bersalaman dan memeluk aku. Walaupun aku mampu bertahan, tetapi rasa sebak dan bangga turut ada apabila melihat semangat anak muda ini. Sebelum melangkah pergi, dia melaungkan “Malaysia Boleh!” kepada semua rakan-rakan yang berada di Kompleks Sukan Kampung Pandan. Saat van mereka berlalu keluar untuk ke KLIA, aku dapat rasakan kelainan untuk temasya kali ini. Impian emas kita mungkin tercapai.

Ayuh rakyat Malaysia, jika kita boleh menyokong atlit kita di Sukan Olimpik, tiada sebab untuk kita tidak menyokong atlit Sukan Paralimpik kita. Mereka ini luar biasa semuanya. Semangat dan keinginan mereka untuk mengharumkan nama negara, jika tidak sama mungkin lebih dari atlit biasa. Kita terlepas mendengar Negaraku berkumandang di Rio ketika Sukan Olimpik, mungkinkah kita akan mendengarnya di Sukan Paralimpik nanti? Sama-sama kita doakan.

 

P.S: Tulisan ini adalah nukilan peribadi penulis. Tetapi, penulis tetap mahu mengajak pembaca untuk menyokong dan mendoakan kejayaan atlit Paralimpik Malaysia di Rio.

Other posts by