Selepas melepasi jangkaan dengan merangkul lima pingat di Olimpik Rio lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata Malaysia tidak boleh mudah berpuas hati di Tokyo 2020.
Walaupun Malaysia gagal untuk merangkul pingat emas Olimpik pertama, persembahan hebat ditunjukkan dalam acara badminton, terjun dan berbasikal.
Bergu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan bergu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menunjukkan aksi cemerlang untuk merangkul pingat perak sementara Lee Chong Wei memberikan sepenuh tenaga sebelum tewas kepada Chen Long dari China dalam acara perseorangan lelaki.
Pandelela Rinong- Cheong Jun Hoong berjaya merangkul pingat perak dalam acara 10m platform seirama – pingat pertama untuk kontinjen Malaysia di Rio sementara Azizulhasni Awang berjaya merangkul pingat gangsa- pingat pertama Malaysia dalam acara berbasikal.
“Mesej dari Olimpik ini menunjukkan penanda aras kita sudah naik.
“Kita semakin hampir untuk memenangi emas dan kita patut jangkakan lebih baik dari semua sukan yang memberikan pulangan di Tokyo nanti.
“Sukan SEA bukan lagi tahap untuk atlet-atlet ini. Satu perkara yang ditunjukkan pemenang pingat kita adalah minda Olimpik dan saya rasa persembahan mereka memberikan mereka keyakinan.
“Saya berbangga dengan pencapaian mereka dan saya rasa seluruh negara juga. Walaupun kita tidak mendapat emas, kita tetap berjaya merangkul lima pingat berbanding enam pingat keseluruhan di Olimpik-Olimpik sebelum ini,” kata Khairy ketika menyambut kepulangan kontinjen Malaysia dari Rio.
Kepulangan atlet Malaysia disambut bagai wira negara diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor di Kompleks Bunga Raya.
Khairy menambah bahawa cabaran seterusnya adalah bagaimana meletakkan asas yang betul untuk Olimpik seterusnya.
“Pemain badminton beraksi baik di Rio dan kita telah buktikan bahawa kita boleh menang dalam acara bergu campuran juga.
“Kita perlu memastikan kita mempunyai pasukan yang kuat dan lebih ramai pemain muda yang akan memecah masuk ke ranking dunia.
“Acara terjun menunjukkan potensi tinggi dan kita hampir merangkul dua pingat.
“Kita perlu membesarkan lagi skuad terjun. Tahap persaingan semakin tinggi dengan lebih banyak negara Asia dan Eropah mampu bersaing merebut tempat di podium.
“Kita ada pasukan yang muda, namun seperti badminton, kita perlukan lebih ramai lagi penerjun.
“Saya telah bercakap dengan jurulatih Yang Zhuliang dan kami akan melantik lebih ramai jurulatih dan menambah baik kelengkapan latihan dengan segera bagi mendapatkan pusat latihan yang lebih berdaya saing di Kuala Lumpur serta pusat latihan luar negara kita di China.
“Sama juga untuk berbasikal kerana kita perlukan lebih ramai pelumba,” kata Khairy menambah bahawa mereka akan melihat juga sukan lain yang belum pernah merangkul pingat Olimpik tetapi mempunyai potensi untuk berbuat demikian.
Tokyo menambah acara sukan baru termasuk Karate di mana Malaysia mempunyai peluang realistik untuk memenangi pingat.
Other posts by Khairul Nizam