Squash

Badi Terbuka Hong Kong terus menghantui Nafiizwan

Mohd Nafiizwan Adnan sekali lagi terkandas dalam usahanya untuk melepasi pusingan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Hong Kong.

Pemain No.1 negara itu tewas 5-11, 8-11, 7-11 kepada pemain No.21 dunia dari Mesir, Hazen Hesham di Pusat Skuasy Hong Kong pada hari Selasa.

Kekalahan tersebut bermakna Nafiizwan sekali lagi gagal mara di perlawanan pembukaan selepas lima percubaan sejak tahun 2011.

“Ianya perlawanan yang sukar hari ini dan Mazen terlalu pantas…dia tidak memberikan peluang untuk saya mendapat rentak,’ kata pemain No.33 dunia itu.

“Ianya sangat mengecewakan untuk tewas tetapi saya perlu bangkit semula dalam kejohanan seterusnya iaitu Terbuka China (8-11 September).

Pemain Mesir, Mazen, mara untuk bertemu rakan senegara dan pemain pilihan ketujuh Karim Abdel Gawad.

Pemain No.8 dunia, Karim hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan pemain Sepanyol, Borja Golan 11-4, 11-5, 11-9.

Kejutan terbesar pastinya apabila pemain wildcard tuan rumah Yip Tsz Fung mengejutkan pemain No.3 dunia Miguel Angel Rodriguez dari Colombia.

Dengan sokongan padu penyokong tuan rumah, pemain No.50 dunia itu menang 13-11, 10-12, 2-11, 11-3, 11-6.

“Saya gembira dapat menewaskan pemain yang berada dalam senarai lima pemain terbaik,” kata pemain berusia 22 tahun itu.

“Saya telah berkerja keras dalam tempoh dua bulan ini dan saya berpuas hati melihat ianya membuahkan hasil. Semoga saya akan bermain lebih baik di pusingan seterusnya juga.”

Pemain No.3 Hong Kong itu akan menentang Ryan Cuskelly dari Australia, yang menewaskan Omar Abdel Meguid dari Mesir, untuk menempah tempat ke suku akhir.

Dalam acara wanita, Nicol David dan Low Wee Wern akan bermain di pusingan pertama hari ini.

Other posts by