Originally written in English. Translation by Khairul Nizam
Pada Februari 2011, Azizulhasni membuat cubaan berani untuk menewaskan Sir Chris Hoy di peringkat akhir acara keirin di Piala Dunia Manchester. Ia bukan hanya Sir Chris sahaja, tetapi senarai akhir pesaingnya adalah Jason Niblett, Edward Dawkins dan juga Juan Peralta Gascon – memberi makna Azizul akan berdepan tugas berat.
Seperti dijangka, sebaik perlumbaan bermula, Sir Chris Hoy memecut ke depan, menggunakan bahagian luar litar untuk memotong Azizul, sebelum mengatasi dua lagi pelumba untuk berada di tempat pertama. Beberapa saat kemudian, empat daripada lima pelumba di belakang Sir Chris terkeluar dari perlumbaan akibat kemalangan di selekoh akhir, memberikan legenda lumba basikan Britain itu memenangi tempat pertama, dengan Niblett di tempat kedua.
Apa yang berlaku seterusnya sangat mengejutkan. Perlanggaran itu menyebabkan serpihan dari trek itu menembusi betis Azizul – satu pemandangan yang mengerikan.
Menakjubkan, Azizul sendiri tidak risau. Dia bangkit, mengangkat basikalnya dan menyambung perlumbaan hingga ke garisan penamat untuk menduduki tempat ketiga, sebelum jatuh kesakitan. Keseluruhan insiden itu berlaku dalam sepuluh saat. Namun pada masa itu, Azizul menunjukkan semangat waja, keazaman dan keinginan, lebih dari sesiapa jangkakan. Untuk negara yang hidup melalui perlawanan ‘kecemerlangan vs biasa-biasa saja’ setiap hari, ianya satu pemandangan yang mengagumkan.
Itulah kisah hidupnya selama ini.
Jejaka bertubuh kecil ini perlu berjuang seumur hidupnya – perjuangannya tidak pernah mudah disebabkan reputasi lumba basikal di Malaysia. Basikal adalah satu perkara biasa – jangan salah sangka – tetapi lumba basikal adalah satu perkara berbeza dan anda tidak mendapat pendedahan mengenainya setiap hari.
Ambil bolasepak sebagai contoh. Ianya telah tertanam dalam budaya kita; jika anda memandu sekitar 10 minit di kawasan perumahan anda di petang hari, anda akan dapat melihat kanak-kanak bermain di jalanan atau padang. Ianya tidak dapat dielakkan. Sama juga seperti sukan badminton. Gelanggang badminton ada di segenap pelusuk negara dan kebanyakan rakyat Malaysia pasti pernah sekurang-kurangnya mencuba bermain sekali seumur hidup.
Namun, cabaran berbasikal lebih sukar. Anda sangka dia mendapat bantuan penuh dari banyak pihak, menjelang Rio 2016. Namun, selepas memenangi pingat gangsa, Azizul menggemparkan negara apabila menyindir Menteri Besar Terengganu kerana ‘kurang membantu’ dalam tempoh 12 bulan yang lalu. Sekarang cuba anda bayangkan jika Azizul pendatang baru dalam sukan ini?
Dia dilahirkan dan dibesarkan di Terengganu – negeri yang semakin terkenal denhan reputasi melahirkan bakat dalam acara berbasikal. Dia memulakan latihan di usia yang muda, hasil bantuan Pasukan Lumba Basikal Dungun, tetapi kali pertama dia mendapat peluang adalah ketika menyertai Sekolah Sukan Bukit Jalil pada tahun 2004, di usia 16 tahun.
Apa yang dia tidak tahu adalah – ianya tidak mudah. “Pada hari pertama saya di sekolah sukan, saya diberitahu oleh jurulatih saya bahawa saya tidak akan berjaya kerana saiz yang kecil berbanding rakan lain yang lebih besar fizikal mereka. Saya sering dipandang rendah kerana fizikal saya yang membakar semangat saya untuk membuktikan bahawa saiz bukan penghalang dan mengorbankan usia muda saya untuk berlatih dan berkerja keras untuk membuktikan mereka salah,” petikan katanya ketika sesi motivasi yang dianjurkan Yayasan Sime Darby, awal tahun ini.
Tiga tahun kemudian, Azizul menyertai dunia lumba basikal Asia dengan merangkul pingat emas di Kejohana Asia di Bangkok. Baru dua tahun menyertai sukan ini, Azizul terkenal di seluruh dunia. Pada tahun 2009, pelumba bertubuh kecil ini mengejutkan dunia apabila memenangi pingat perak di acara pecut, menamatkan perlumbaan di belakang pelumba Perancis Gregory Bauge di Kejohanan Dunia.
12 bulan kemudian, dia merangkul pingat perak keduanya dalam kejohanan yang sama, menamatkan perlumbaan di belakang pelumba legenda Britain, Sir Chris Hoy. Bermula saat itu, dia tidak memandang belakang. John Beasley menitiskan air mata di tepid an Azizul mula cuba menguasai dunia.
Namun, saiz tetap menjadi penghalang terbesarnya. Peringkat Asia menjadi satu rutin buat Azizulhasni – dia lebih dari mampu untuk menguasainya. Peringkat dunia, lebih sukar. “Jika Keirin mempunyai kategori berat badan berbeza, saya mungkin akan menang gelaran dunia setiap tahun,” katanya kepada The Star baru baru ini. Di sebalik mendiamkan pengkritiknya di pentas antarabangsa, Azizul pulang dengan tangan kosong di London, buat kali kedua.
Di sini garis nyata boleh dilukis. Ianya mungkin mudah untuk menarik diri, mengetahui saiz akan sentiasa menjadi penghalang. Apatah lagi, dia masih boleh fokus untuk menguasai Asia – ianya sentiasa ada untuk dimenangi dan tiada sebarang kemungkinan. Namun, dia terus berjuang. Dia berjuang menentang sistem, dia berjuang untuk dapatkan dana, dia memacu tubuhnya untuk melawan semua halangan yang ada. Sementara beribu rakyat Malaysia menghabiskan hujung minggu dengan menonton Liga Perdan Inggeris di kaca TV, Azizulhasni berada di Melbourne, jauh dari keluarga, berhempas pulas, di atas basikal latihannya. Bahkan, bapanya – Awang Muda Embong – bertemu dengannya kali terakhir pada Januari 2016. “Saya mengakui bahawa saya sangat rindukan Jijoe (Azizulhasni) . Dia juga melupakan sambutan Aidilfitri kerana latihannya yang ketat. Seperti Jijoe, saya juga sanggup berkorban untuk negara,” katanya kepada NST baru-baru ini.
Dua hari lalu, usaha kerasnya membuahkan hasil. Tujuh tahun selepas mengejutkan dunia dengan merangkul pingat perak di Kejohana Dunia 2009, Azizulhasni akhirnya merangkul pingat Olimpik – yang juga pingat pertama Malaysia dalam acara berbasikal.
Ucapan ‘terima kasih’ Azizul di laman Facebook membawa banyak maksud – kejayaannya selama ini adalah hasil usaha bersama dari ramai pihak. Mereka membantu memberikan dana untuk mencapai cita-citanya, mereka membantunya melawan segala kekurangan yang dihadapi. Itu tidak patut mengaburi segala usahanya berseorangan – seperti yang dijelaskan secara terperinci olehnya dalam ucapan motivasi yang sama, awal tahun ini.
“Kejar cita-cita anda 110% kerana anda tidak akan menyesal mengejar apa yang anda inginkan dalam hidup anda. Anda perlu ingat untuk menguruskan masa dan sumber anda sebaiknya. Untuk menjadi hebat, anda perlu bersedia untuk berkorban. Ianya kadang kala sunyi, tetapi hasilnya lumayan. Jangan pernah lari dari impian anda,” tegas beliau.
Dia kini kembali di Malaysia, dan mungkin akan mengambil masa untuk bercuti, untuk berjumpa keluarganya dan membawa anak perempuannya bersiar-siar, yang demam seminggu yang lalu. Mungkin cuba menikmati juadah hari raya yang diingininya, dan menonton rancangan kegemarannya di Netflix.
Namun jauh di lubuk hatinya, anda tahu ini bukan penamatnya. Dalam empat tahun lagi, Tokyo akan menjadi tuan rumah untuk Sukan Olimpik 2020 dan dia sudah memikirkannya. Bagaimana saya tahu? Ungkapan pertamanya kepada Khairy Jamaluddin selepas acara akhir Keirin: “Maaf Chief, ia bukan emas.” Itu bukan kata-kata seorang atlet yang berpuas hati. Itu ungkapan dari seorang atlet yang tahu dia boleh melakukan dan akan lakukan yang lebih baik.
Jadi apa yang biasanya dilakukan Azizulhasni apabila dia tidak berpuas hati? Dia berjuang. Dan saya yakin dia akan berjuang habis-habisan menuju Sukan Olimpik 2020. John Beasley pasti akan bersamanya.
Terima kasih untuk segalanya Azizulhasni. Anda sememangnya inspirasi kami. #TeamMalaysia
Other posts by Keeshaanan Sundaresan