Badminton

Berhati-hati dengan permainan psikologi Lin Dan – Rashid Sidek

Bintang badminton negara Datuk Lee Chong mampu menewaskan musuh ketatnya Lin Dan dalam perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki jika melihat pada prestasi semasanya.

Bekas jurulatih negara Rashid Sidek berkata pemain nombor satu dunia itu perlu berwaspada dengan permainan psikologi yang akan digunakan oleh Lin Dan dalam perlawanan hari ini.

“Dua pemain ini bermain dengan gaya yang hampir sama, tetapi Chong Wei perlu berhati-hati dengan pelbagai tipu helah yang akan digunakan oleh pesaing ketatnya,” jelas pemenang pingat gangsa Olimpik di Atlanta 1996 kepada Bernama.

Rashid, yang pernah melatih pemain berusia 32 tahun itu, mengakui Chong Wei mempunyai kelebihan dari segi menyerang dan pukulan smash.

“Dia perlu mempelbagaikan corak permainannya, seperti ‘fast-play’’ dan ‘rally’, jika tidak ‘Super Dan’ mampu membaca gerakannya,” ujar beliau.

Sementara itu, bekas juara bergu negara Datuk Razif Sidek turut berkongsi pendapat yang sama dengan adiknya.

“Jika kita melihat rekod pertemuan mereka, Lin Dan telah memenangi semua kejohanan besar menentang Chong Wei.

“Namun, jika Chong Wei mampu mengekalkan rentaknya, tidak hilang tumpuan dan berkeyakinan tinggi, ianya akan menjadi kelebihan buatnya,” kata beliau.

Razif berkata jika Chong Wei berjaya mara ke perlawanan akhir, perlawanan itu juga tidak mudah kerana Chen Long dilihat tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Viktor Axelsen dari Denmark dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Other posts by