Cycling

Azizul sasarkan emas di Tokyo 2020

Azizulhasni Awang tidak berjaya merangkul pingat emas yang dijanjikan, tetapi dia gembira kerana berjaya merangkul pingat pertama Malaysia dalam acara berbasikal – pingat gangsa – di Sukan Olimpik.

Pelumba berusia 28 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam acara Keirin lelaki di belakang pemenang pingat emas Jason Kenny dari Britain dan Matthijs Buchli dari Belanda di Velodrom Olimpik Rio pada hari Selasa.

Juara dunia dan pelumba pilihan Joachim Eilers dari Jerman menamatkan perlumbaan di tempat keempat sementara peserta Colombia, Fabian Fernandon Puerta Zapata di tempat kelima dan wakil Poland Damian Zielinski di tempat keenam.

“Sasaran saya emas. Saya tidak pernah terfikir perak atau gangsa. Tetapi saya gembira dan bersyukur kerana ini pingat Olimpik pertama saya dan Malaysia dalam acara berbasikal,” jelas Azizul.

“Pingat gangsa ini satu permulaan baik untuk saya. Saya berharap akan dapat melakukan lebih baik di Tokyo (tahun 2020). Saya masih muda, baru 28 tahun dan jauh lagi perjalanan saya.”

Memenangi pingat gangsa Olimpik, Azizul atau lebih dikenali sebagai the Pocket Rocketman telah merangkul pingat dalam semua peringkat acara sukan. Dia telah memenangi pingat di Kejohanan Dunia, Piala Dunia, Kejohanan Asia, Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Bapa kepada dua anak itu menyatakan bahawa dia tidak terganggu dengan dua hentian yang berlaku dalam perlumbaan itu.

“Saya sangat fokus. Ianya tidak mengganggu tumpuan saya. Fikiran saya adalah untuk melakukan yang terbaik untuk negara saya.

“Dan saya sangkakakn saya memenangi pingat perak tetapi apabila saya melihat papan mata, ianya pingat gangsa kerana pelumba Belanda itu berjaya menyelit.

“Tapi saya tetap gembira dan bersyukur dengan pingat gangsa ini kerana kami telah berkerja keras untuk Olimpik ini,” kata Azizul yang berlatih selama lima minggu di Portugal sebelum tiba di Rio de Janeiro.

Other posts by