Diving

Pandelela, Dhabitah mara ke separuh akhir 10m platform Individu

Berita gembira untuk Malaysia apabila dua atlet negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri layak ke separuh akhir acara 10m platform individu wanita di Pusat Akuatik Maria Lenk.

Pandelela, yang merangkul pingat gangsa dalam acara tersebut di Sukan Olimpik London 2012, beraksi baik untuk berada di kedudukan keenam dengan 332.45 mata sementara Dhabitah berada di kedudukan kelapan dengan 325.85 mata dari 28 peserta.

Hanya 18 penerjun layak ke separuh akhir yang akan berlangsung pada jam 9 malam hari Khamis (waktu Malaysia). Lapan penerjun terbaik akan mara ke final yang akan berlangsung pada jam 3 pagi hari Jumaat.

China membuktikan mereka mempunyai dua penerjun yang bagus menerusi Si Yajie dan Ren Qian yang menduduki dua tempat pertama dengan terjunan hebat. Yajie memungut 397.45 mata sementara Ren Qian memungut 385.80 mata.

Pandelela kini akan berusaha untuk merangkul pingat keduanya di Rio selepas memenangi pingat perak dalam acara 10 m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong.

Other posts by