Perjalan bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk merangkul pingat emas Olimpik bermula dengan mudah apabila dia mara dengan mudah ke peringkat suku akhir acara badminton Sukan Olimpik Rio semalam.
Dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, Chong Wei mengambil masa 35 minit untuk muncul juara kumpulan dengan menewaskan wakil Singapura, Derek Wong, 21-18, 21-8.
Namun, pilihan utama itu, kini akan berdepan sama ada pemain Taiwan Chou Tien atau pemain Hong Kong, Hu Yun di suku akhir pada hari Rabu.
Apabila ditanya mengenai masa menunggu yang diperlukan bagi setiap peringkat, Chong Wei berkata: “ Saya lebih gemar bermain setiap hari dan menamatkan kejohanan tetapi saya hanya perlu kekalkan tumpuan saya…Ini Olimpik, bukan Super Series.”
“Saya hanya perlu menyesuaikan diri. Ini Olimpik dan saya mahu merangkul pingat emas, begitu juga seluruh negara…Saya perlu fokus untuk peringkat seterusnya,” kata beliau selepas perlawanannya di Pavilion 4, Riocentro.
Kempen Chong Wei di Olimpik dimulakan dengan menewaskan wakil Surinam, Soren Opti 21-2, 21-13 pada Khamis lalu.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi menamatkan perlawanan kedua Olimpiknya dengan kedukaan apabila mengalami kecederaan di betis kiri dalam set pertama sebelum tewas kepada wakil Jepun Akane Yamaguchi 21-18, 21-5 dalam perlawanan Kumpulan K.
Hadir di Rio dengan harapan untuk mara melepasi peringkat kumpulan, Jing Yi sedang mendahului 17-15 sebelum mengalami kecederaan.
Kecederaan Jing Yi itu digunakan sepenuhnya oleh juara remaja dunia dua kali, Akane, untuk memenangi set pertama 21-18.
“Ini mungkin Olimpik terakhir saya dan saya telah bersedia. Saya datang ke Rio dengan sasaran untuk memberikan yang terbaik tetapi nasib tidak menyebelahi saya,” jelas pemain berusia 25 tahun itu.
“Tokyo 2020 lagi empat tahun dan saya tidak rasa saya mampu teruskan. Saya kecewa dengan apa yang berlaku di Rio dan saya akan berehat dahulu,” ujar Jing Yi yang berada dalam keadaan kecewa.
Jing Yi berkata dia akan membuat keputusan dalam masa seminggu dua lagi sama ada akan bermain di Sukan SEA tahun hadapan dan Sukan Komanwel 2018.
Sementara itu, bergu campuran negara, Chan Peng Soong-Goh Yiu Ling akan menentang bergu Poland, Robert Mateusiak-Nadiezda di suku akhir hari ini.
Other posts by Khairul Nizam