Bekas pelumba negara, Josiah Ng yakin bekas rakan latihannya, Azizulhasni Awang mampu mencipta sejarah di Sukan Olimpik Rio de Janeiro.
Josiah merasakan Azizul mampu naik ke podium bagi acara keirin lelaki di Velodrome Olimpik Rio pada 16 Ogos ini.
“Azizul telah berdepan banyak cabaran untuk diatasi dalam tempoh empat tahun ini tetapi, seperti seorang juara, dia mempunyai keyakinan tinggi terhadap kebolehannya dan sangat cintakan apa yang dilakukannya. Dia seorang yang sangat bersemangat. Saya percaya Azizul telah semakin matang,” kata Josiah yang bersara tahun lalu dan kini bermastautin di Melbourne.
“Saya mengikuti perkembangan pasukan dengan dekat walaupun sibuk mengembangkan perniagaan saya.
“Saya mempunyai minat yang mendalam dalam apa yang dilakukannya dan saya menyedari bahawa dia telah melakukan banyak perkara dengan lebih bagus berbanding dahulu.
“Perhatiannya kepada semua perincian telah membantu beliau dalam dua Kejohanan Berbasikal Trek Dunia terakhir, di mana dia berjaya merangkul pingat.
“Hanya ada seorang pelumba di dunia yang telah memenangi dua pingat dalam dua kejohanan dunia bagi acara Keirin dan dia adalah pelumba New Zealand, Eddie Dawkins (keduanya pingat perak).”
Azizul sering ditekan dari segi fizikal oleh pesaingnya, tetapi dia telah membuktikan dalam empat acara Kejohanan Trek Dunia bahawa saiz tidak menjadi penghalang.
Azizul merangkul pingat perak dalam acara pecut di belakang pelumba Perancis Gregory Bauge di kejohanan dunia pada tahun 2009 di Pruzkow, Poland dan mengulanginya apabila menamatkan perlumbaan dalam acara Keirin di belakang wakil Britain Sir Chris Hoy di Copenhagen, Denmark setahun selepas itu.
Dia memenangi pingat gangsa dalam acara Keirin di Paris, tahun lalu.
Walaupun terlepas lima minggu latihan disebabkan kecederaan otot dan virus, Azizul berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara berkenaan di London tahun ini.
Josiah menggesa rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan kepada Azizul dalam usahanya mengharumkan nama negara.
“Azizul merupakan salah seorang prospek pingat. Dan kita, sebagai rakyat Malaysia, beruntung kerana mempunyai seorang yang berkaliber untuk mewakili kita dalam sukan yang sangat mencabar seperti berbasikal.
“Dia lebih hebat berbanding sebelum ke Rio…Saya mempunyai keyakinan tinggi terhadapnya dan pasukan sokongannya, yang diketuai jurulatih John Beasley.
“Mereka telah berusaha sepenuhnya untuk ke Rio dengan persediaan lengkap dan bertenaga, bersedia untuk menguasai dunia,” ujar Josiah.
Other posts by Khairul Nizam