Football

Ong Kim Swee yakin peluang Malaysia layak ke separuh akhir Piala AFF

Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee yakin dengan peluang Malaysia untuk layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir jika semua pemain utama dapat bermain.

Namun, beliau tetap berwaspada dengan kekuatan pasukan lain walaupun Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang dilihat lebih mudah berbanding Kumpulan A yang disertai juara bertahan Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina.

“Walaupun kita berada dalam kumpulan yang boleh dikatakan lebih baik daripada Kumpulan A, tapi seperti yang saya katakan sebelum ini, pasukan di Asia Tenggara ini mempunyai kekuatan yang sama kecuali Thailand.

“Saya percaya bahawa pasukan Myanmar akan bersiap sedia lebih awal dan menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan B ini. Vietnam juga selalu konsisten di peringkat Asia Tenggara ini. Jadi ini dua pencabar utama kita termasuk juga pasukan yang layak dari pusingan kelayakan, di mana kita tidak boleh mengambil mudah.”

Beliau yang ditemui selepas majlis undian Piala AFF Suzuki di Yangor, Myanmar malam semalam turut berharap Malaysia dapat melakukan persiapan rapi untuk kejohanan dwi tahunan ini: “Apa pun saya berharap agar kita dapat bersiap sedia dengan lebih rapi bagi menghadapi Piala Suzuki AFF 2016 ini di mana peluang kita untuk layak ke separuh akhir terpulang kepada keadaan sewaktu kejohanan berlangsung nanti.”

Piala AFF Suzuki 2016 akan berlangsung pada 19 November hingga 17 Disember ini. Malaysia akan memulakan kempen dengan bermain di Stadium Thuwunna YTC, Yangon bertemu juara pusingan kelayakan (Brunei, Timor-Leste, Kemboja atau Laos) pada 20 November ini.

Pada edisi 2014, Malaysia yang ketika itu dikendalikan Dollah Salleh muncul naib juara selepas tewas agregat 4-3 kepada Thailand apabila tewas 2-0 pada final pertama di Bangkok sebelum bangkit menang 3-2 di Bukit Jalil pada final kedua.

Berdasarkan rekod sepanjang 10 edisi sebelum ini, Malaysia pernah sekali muncul juara iaitu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal, naib juara sebanyak dua kali pada edisi sulung 1996 dan 2014 serta lima kali tewas di separuh akhir iaitu pada 2000, 2002, 2004, 2007 dan 2012.

Hanya dua kali Malaysia gagal melepasi saingan peringkat kumpulan iaitu pada 1998 dan 2008.

Other posts by