Diving

Pandelela sasar untuk menyinar di Rio

Pingat Olimpik pertama Pandelela Rinong di London empat tahun lalu telah menaikkan semangatnya untuk menunjukkan aksi lebih baik di Sukan Olimpik Rio yang akan berlangsung 5 Ogos ini.

Penerjun berusia 23 tahun itu merangkul pingat gangsa dalam acara 10m platform wanita di London pada tahun 2012.

Anak jati Sarawak itu akan mengambil bahagian dalam temasya sukan terbesar dunia itu buat kali ketiga, menyertai dua acara iaitu 10m platform wanita dan 10m platform seirama bersama Cheong Jun Hoong.

Menurut Pandelela, walaupun dia telah memenangi pingat untuk negara dalam Sukan Olimpik empat tahun lali, dia akan bermula dari kosong kali ini.

“Saya akan membuat sehabis baik, saya berharap terjunan saya di Olimpik akan memberikan mata yang baik, dan saya dapat membawa pulang pingat untuk negara,” ujar beliau kepada Bernama.

Pandelela yang juga memenangi pingat gangsa di acara 10m platform individu di Siri Kejohanan Terjun Antarabangsa FINA di Windsor,Kanada, berkata latihan dua bulan di China telah banyak membantunya.

“Banyak benda baru yang saya pelajari, dan saya akan cuba gunakannya di pertandingan itu,” kata beliau.

Pandelela telah menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan sebanyak tiga kali (2011,2013 dan 2015) dan ia memberikan inspirasi kepadanya untuk terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Ditanya mengenai cabaran utamanya di Rio, Pandelela mengakui penerjun dari China, Korea Utara, Britain, Kanada dan Australia akan memberikan saingan sengit.

Memenangi pingat di Olimpik London tidak memberikan sebarang tekanan kepadanya.

“Saya selalu menganggap semua kejohanan bagaikan yang pertama saya sertai,” kata Pandelela.

Namun, Pandelela berkata peluangnya lebih cerah dalam acara 10m platform seirama.

“Ini kerana saingannya lebih kecil berbanding acara individu, dan saya percaya rakan saya (Cheong) akan memberikan persembahan yang terbaik di sana,” tambah beliau.

Other posts by