Squash

Nicol bersemangat untuk rampas semula kedudukan No.1 dunia

Ratu squash negara, Datuk Nicol David telah mensasarkan untuk merampas semula gelaran nombor satu dunia musim ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, kini berada di kedudukan keempat dunia, berjaya mendaki ke kedudukan tertinggi pada Ogos 2006 dan mengekalkan kedudukannya selama sembilan tahun (109 bulan) sebelum melepaskannya pada September 2015.

“Untuk sekarang, saya hanya menumpukan pada latihan dan menambah kelajuan supaya boleh mengekalkan persembahan saya dan konsisten. Saya mengakui bahawa saya tidak konsisten tahun lalu.

“Oleh sebab itu adalah sangat penting untuk saya terus cergas dengan menambah lagi latihan kerana semua orang mahu berada di kedudukan tertinggi dunia,” ujar pemain berusia 32 tahun itu ketika menghadiri sidang media Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) sempena Kejohanan Jemputan Skuasy Wanita di Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil, semalam.

Kejohanan tersebut merupakan sebahagian daripada program untuk pemain bintang negara sebelum bermulanya musim baru skuash (2016-2017).

Kejohanan Jemputan Skuasy Wanita 2016 akan berlangsung bermula hari ini hingga 31 Julai di Pusat Skuasy Negara Bukit Jalil.

Turut bertanding adalah pemain nombor lapan dunia Omneya Abdel Kawy dari Mesir, Joelle King dari New Zealand (No.9), Joshna Chinappa dari India (No.10) dan bekas pemain nombor dua dunia Jenny Duncalf dari England.

Nicol berkata dia tidak sabar untuk kejohanan pertama musim ini iaitu Kejohanan Terbuka Hong Kong pada bulan Ogos.

“Sasaran saya adalah persembahan. Saya mahu melihat bagaimana persembahan saya meningkat di setiap kejohanan. Selepas minggu ini, saya akan ke Australia selama dua minggu untuk berlatih dan turut bertanding di perlawanan pertunjukan di Australia.

“Saya akan kembali (ke Malaysia) beberapa hari sebelum ke Terbuka Hong Kong,” kata beliau.

Other posts by