Swimming

Chin Hwang pecahkan rekod kebangsaan di Sukma Sarawak

Perenang Wilayah Persekutuan, Lim Ching Hwang berjaya memecahkan rekod kebangsaan yang dicipta olehnya sendiri sebelum ini dalam acara 200m medley individu di Sukma Sarawak.

Perenang berusia 20 tahun yang berpengkalan di Amerika Syarikat itu mencatat masa 2:04.77 untuk memecahkan rekod beliau sebelum ini iaitu 2:04:89 dalam satu kejohanan jemputan di Universiti Ohio November lalu.

Perenang Selangor, Jordan Yip merangkul pingat perak dengan catatan masa 2:08:81 sementara Eric Tan dari Sabah merangkul pingat gangsa dengan catatan masa 2:11:38.

Apa yang menakjubkan adalah Ching Hwang berjaya memecahkan rekodnya walaupun bertanding dalam keadaan yang tidak berapa sihat.

“Saya berasa gembira dengan kemenangan ini dan mencipta rekod kebangsaan baru,” kata Ching Hwang.

“Saya demam dan sakit tekak minggu lalu. Saya perlu makan antibiotik dan tidak dapat berlatih selama beberapa hari. Kemenangan ini sangat istimewa,” tambah pemenang pingat emas Sukan Remaja Asia itu.

Seorang lagi wakil Wilayah Persekutuan, Keith Lim juga merupakan pemecah rekod. Perenang berusia 19 tahun itu mencatat masa 50:77 dalam acara 100m gaya bebas untuk memecahkan rekod Sukma yang dicipta Foo Jian Beng di Sukma 2008 di Terengganu dengan catatan masa 50:94. Ini merupakan kejayaan pertama Keith dari tiga penampilan di Sukma.

Selangor terus mendominasi apabila merangkul empat pingat emas menerusi Chan Jie (50m gaya kupu-kupu lelaki), Yap Siew Hui (50m gaya kupu-kupu wanita), Jordan Yip (200m kuak lentang lelaki) dan Nadia Adrianna Redza (200m kuak lentang wanita).

Erika Kong merangkul pingat emas pertama Sarawak dalam acara renang apabila muncul juara dalam acara 200m medley individu wanita.

Pulau Pinang juga berjaya merangkul pingat emas pertama mereka menerusi Elynn Tan untuk acara 100m gaya bebas.

Other posts by