Football

FAM sedia bertemu TMJ berkenaan isu pendrive

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia untuk bertemu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenaan dakwaan bahawa beliau (TMJ) memiliki pendrive yang berisi maklumat dan aktiviti di dalam FAM.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata setiap individu mempunyai hak untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai apa-apa salah laku.

“Saya akan berhubung dengan TMJ mengenai isu ini,” jelas beliau kepada wartawan semalam.

Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers semalam mengenai salah laku di dalam FAM, termasuk penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan perlawanan akhir Piala Malaysia.

TMJ mendakwa bahawa pendrive tersebut diberikan kepadanya oleh seorang rakan berpangkat tinggi di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hamidin menggesa empat pemain Johor Darul Ta’azim (JDT) yang mengumumkan persaraan mereka dari pasukan kebangsaan untuk memberikan surat tunjuk sebab berhubung tindakan mereka.

Beliau berkata, FAM mahu mengetahui apa punca mereka bertindak demikian, terutamanya apabila kesemua empat pemain bersara serentak.

“Kami (FAM) juga akan menghantar surat kepada pemain tersebut menerusi kelab mereka (JDT), untuk meminta kerjaya sama pemain menjelaskan alasan kenapa mereka mahu bersara dari pasukan kebangsaaan,” jelas beliau sambil menambah bahawa isu empat pemain JDT yang bersara dari pasukan kebangsaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan pada 10 Ogos.

“Pemain mempunyai hak untuk bersara, cuma kami terkejut dengan keputusan mereka apabila prestasi mereka berada di kemuncak. Kami akan mengikut prosedur dengan menghantar surat kepada mereka dan selepas menerima jawapan balas akan mendapatkan pengesahan dalam mesyuarat itu,” jelas beliau.

Hamidin berkata kesemua pemain hanya membuat pengumuman menerusi laman Facebook dan tidak menghantar surat bertulis kepada FAM.

Empat pemain yang bersara adalah Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, S.Kunanlan dan Amirulhadi Zainal.

Other posts by