Others

Majlis Sukan SEA tolak permohonan Malaysia anjur Sukan SEA dan Sukan Para Asean serentak

Majlis Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) telah menolak permohonan Malaysia untuk menganjurkan Sukan SEA 2017 dan Sukan Para Asean secara serentak.

Pengerusi SEAGF, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar berkata Sembilan dari 11 negara ahli telah menolak cadangan itu, menyatakan bahawa penolakan itu adalah disebabkan tradisi dan kebiasaan yang sudah lama dikekalkan oleh SEAGF.

“Apabila perkara itu dibincangkan, banyak negara yang menunjukkan minat tetapi apabila tiba masa untuk undian sama ada kami akan menerima keputusan itu, sembilan negara mengundi untuk menolak cadangan itu.

“Sementara dua lagi negara (Malaysia dan Laos) bersetuju,” ujar beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat majlis SEAGF semalam.

Sebelum itu, Tunku Imran berkata bahawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah membuat rayuan semula kepada majlis SEAGF dalam mesyuarat semalam selepas mesyuarat Exco SEAGF menolak cadangan tersebut, pada hari Rabu.

Ketika cadangan tersebut diletakkan untuk proses pengundian dalam mesyuarat exco yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria kelmarin, hanya Malaysia yang mengundi untuk menyokong sementara 10 lagi negara tidak menyokong cadangan tersebut.

“Khairy selaku Pengerusi Ahli Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Malaysia (MASOC) telah bertemu ahli majlis dan membuat rayuan untuk mempertimbangkan cadangan tersebut,” kata Tunku Imran.

Sementara itu, Tunku Imran selaku Presiden MOM, memberitahu bahawa ahli majlis telah bersetuju dengan keputusan Malaysia untuk menyenaraikan 38 jenis sukan dengan 405 acara dalam Sukan SEA 2017 yang akan dianjurkan pada 19-31 Ogos.

Selain itu, majlis juga telah menerima laporan penuh berhubung Sukan SEA 2011 daripada Indonesia.

“Dalam mesyuarat itu, Filipina telah mengesahkan mereka akan menjadi tuan rumah untuk Sukan SEA seterusnya pada 2019.

Other posts by