Badminton

Skuad Remaja negara gagal runtuhkan Tembok Besar China

Perjuangan skuad Badminton Remaja negara di Kejohanan Remaja Asia, Bangkok terhenti apabila mereka tewas kepada China di saingan suku akhir dalam tempoh 88 minit semalam.

Bermain di Pusat Latihan Badminton dan Sains Sukan CPB, Malaysia tewas 3-0 apabila Soh Wooi Yik-M.Thinaah (bergu campuran), Lee Zii Jia (perseorangan lelaki) dan Chen Tang Jie-Hoo Pang Ron (bergu lelaki) tewas.

Ini kali ketiga berturut skuad kebangsaan tewas 3-0 kepada China – selepas tewas dua kali juga di suku akhir – di Kejohanan Remaja Asia dan Kejohanan Remaja Dunia tahun lalu.

“China sememangnya pasukan campuran terbaik dunia. Pemain kita bermain dengan bersemangat tetapi ia tidak mencukupi. Saya gembira dengan usaha mereka,” kata Kwan Yoke Meng, pengurus pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Malaysia kini akan menumpukan perhatian kepada acara perseorangan yang akan bermula pada hari Rabu ini.

Yoke Meng berharap pemain berusia 16 tahun, Goh Jin Wei akan sempat pulih dari kecederaan untuk merebut gelaran perseorangan wanita.

Juara remaja dunia itu yang juga pemain pilihan kedua merupakan sandaran terbaik Malaysia untuk merangkul gelaran. Dia mengalami kecederaan otot ketika pasukan Malaysia tewas 1-4 kepada Indonesia pada hari Ahad.

“Jin Wei sudah semakin pulih selepas berehat dan menjalani rawatan. Kami berharap dia akan pulih sepenuhnya apabila saingan bermula,” ujar Yoke Meng.

Other posts by