Football

Felda United sasarkan Piala Malaysia

Pasukan di tangga kedua Liga Super, Felda United menyimpan cita-cita tinggi untuk menjulang kejuaraan berprestij Piala Malaysia yang akan bermula saingannya pada hari Selasa ini.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, persiapan rapi telah dilakukan selepas bulan Ramadhan oleh pasukan untuk memburu piala yang menjadi rebutan pasukan-pasukan di Malaysia itu.

Beliau turut berkata, sasaran tersebut dibuat berdasarkan prestasi membanggakan Felda United dalam saingan Liga Super Malaysia 2016 apabila mereka berada di tangga kedua di belakang pendahulu Johor Darul Ta’azim (JDT).

“Saya sudah maklumkan kepada pemain, pengurus dan jurulatih mengenai matlamat (untuk menjulang Piala Malaysia) dan mereka juga dilihat berusaha keras untuk membentuk pasukan yang lebih mantap.

“Tiada ertinya kita buat persediaan dan menyediakan pasukan terbaik tanpa kita ada sasaran, sudah pastinya sasaran kita mahu jadi juara, katanya dalam sidang media semasa Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran beliau.

Felda United di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim diletakkan dalam Kumpulan D bersama Terengganu serta Melaka United dan Negeri Sembilan dari Liga Premier.

The Fighters akan membuka kempen Piala Malaysia mereka dengan bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tun Razak,Jengka, Pahang.

Other posts by