Badminton

Saya mahu Olimpik Rio jadi kenangan manis, kata Chong Wei

Pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei mahu menjadikan Sukan Olimpuk di Rio de Janeiro sebagai kenangan paling manis dalam hidupnya dengan memenangi pingat emas.

“Ini bukan impian saya seorang tetapi seluruh rakyat Malaysia. Saya perlu membuat persiapan terbaik apatah lagi kerana ini Sukan Olimpik terakhir saya,” jelas Chong Wei.

Sukan Olimpik Rio merupakan kali keempat Chong Wei bertanding di temasya Olimpik selepas Athens 2004 di Greece, Beijing 2008 di China dan London 2012.

Chong Wei pulang dengan tangan kosong di Athens selepas tewas di pusingan kedua kepada Chen Hong dari China. Empat tahun kemudian Chong Wei semakin hampir membawa pulang pingat emas pertama Malaysia apabila berjaya mara ke final tetapi beliau tewas kepada Lin Dan dari China.

Di London, skrip sama berulang apabila percubaan mendapatkan pingat emas Chong Wei dinafikan Lin Dan di perlawanan akhir.

Chong Wei berkata beliau menumpukan latihannya kepada aspek mental dan fizikal. “ Saya mahu bersedia sepenuhnya kerana ini Olimpik terakhir saya,” ujar beliau.

Di samping keinginan untuk merangkul pingat emas, Chong Wei juga mahu menikmati keseronokan Olimpik, sesuatu yang tidak pernah dirasainya sebelum ini kerana terlalu sibuk melakukan persiapan.

“Menjadi pembawa bendera Jalur Gemilang di Rio ketika majlis pembukaan akan memberikan saya peluang untuk menikmati kemeriahan Sukan Olimpik Rio.”

Chong Wei berkata ianya akan menjadi satu kerugian jika dia terlepas majlis pembukaan Sukan Olimpik kerana tumpuan dunia akan tertumpu kea rah pembawa bendera dan atlet Malaysia.

Pemain dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu menghargai penghormatan yang diberikan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang memilih beliau sebagai pembawa bendera.

Other posts by