Badminton

Iskandar lawan Daren di Pusingan Ketiga Terbuka Taiwan

Pemain badminton No.2 negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin boleh dianggap bertuah selepas pemain No.2 dunia Chen Long dari China menarik diri dari Terbuka Taiwan saat terakhir.

Pemain No.32 dunia yang dijadual bertemu Chen Long di pusingan kedua, menyambut berita gembira itu dengan menundukkan Derek Wong dari Singapura 21-10, 21-14 dalam pusingan kedua di Taipei Arena pada hari Rabu.

Iskandar yang merupakan pemain pilihan ke-13 sebelum itu menewaskan pemain muda Indonesia Firman Abdul Kholik 21-19, 21-11 dalam pusingan pertama, dan akan bertemu rakan senegara Liew Daren untuk merebut tempat ke suku akhir.

Daren yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Februari lalu, mudah melepasi pemain tuan rumah Shih Kuei-Chun 21-18, 21-14 di pusingan kedua.

“Saya bernasib baik kerana Chen Long menarik diri. Namun saya tetap perlu fokus kerana pihak lawan saya juga hebat,” ujar Iskandar.

“Ia juga sukar untuk saya hari ini kerana saya bermain di perlawanan pertama pada pukul 11 pagi…dan saya baru selesai pusingan kedua pada pukul 3 petang.

“Kemenangan itu memberikan saya keyakinan untuk menentang Daren, yang tidak pernah saya tewaskan.”

Dua lagi wakil negara, Mohd Arif Abdul Latif dan Goh Soon Huat pula telah terkeluar dari kejohanan. Arif tewas 17-21, 8-21 kepada Angus Ng Ka Long dari Hong Kong sementara Soon Huat tewas 16-21, 16-21.

Dalam acara bergu, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bertungkus lumus selama 49 minit sebelum mengatasi bergu Taiwan Lin Chia-yu – Wu Hsiao-lin 21-13, 16-21, 21-17 dalam pusingan pertama.

Bergu No.13 dunia itu akan bertemu rakan senegara Ong Yew Sin- Teo Ee Yi untuk merebut tempat ke suku akhir.

Bergu muda negara Yew Sin-Ee Yi menumpaskan gandingan Hantoro-Yohanes Rendy Sugiarto dari Indonesia 21-10, 21-8 dalam masa kurang 20 minit.

Dalam acara bergu campuran, pilihan utama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying bermula garang dengan menewaskan bergu Hong Kong Tan Chung Man – Tse Ying Suet 21-13, 21-14.

Gandingan Tan Kian Meng – Lai Pei Jing pula menundukkan gandingan Huang Kaixiang- Huang Dongping dari China 21-12, 21-19.

Other posts by