Badminton

Jing Yi akan beraksi di Olimpik Rio

Tee Jing Yi telah diumumkan akan mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Rio pada bulan Ogos ini.

Terdapat kerisauan sebelum ini mengenai kecergasan pemain perseorangan wanita No.1 negara itu apabila dia mengalami kecederaan buku lali dan dikhabarkan pemain muda negara Goh Jin Wei akan mengambil alih tempatnya.

Namun, Institut Sukan Negara (ISN) telah mengesahkan Jing Yi bebas dari sebarang kecederaan dan akan beraksi di Rio bersama Lee Chong Wei ( perseorangan lelaki), Goh V Shem – Tan Wee Kiong (bergu lelaki), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (bergu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (bergu campuran).

“ISN telah memberitahu kami bahawa Jing Yi sudah cergas sepenuhnya untuk Olimpik. Maka dia akan menjadi wakil Malaysia,” ujar Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria selepas ahli jawatankuasa kejurulatihan dan latihan bermesyuarat semalam.

Akan tetapi, Jing Yi telah menarik diri dari menyertai Terbuka Taiwan di Taipei yang akan berlangsung minggu ini.

“Ini untuk membolehkan Jing Yi fokus dengan persiapannya ke Olimpik,” jelas Norza.

Ini akan menjadi penampilan kedua Jing Yi di Sukan Olimpik. Dia membuat penampilan pertama Olimpiknya di London 2012 tetapi gagal mara melepasi peringkat kumpulan.

Other posts by