Penduduk Britain telah mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) – dengan jumlah undi 52% menyokong dan 48% membantah – yang menyebabkan berlakunya kekecohan di setiap sudut. Dunia bola sepak turut tidak dapat mengelak.
Jadi apa kesan kepada Liga Perdana Inggeris jika Britain keluar daripada Kesatuan Eropah?
Pemain luar perlukan Permit.
Setakat ini, terdapat seramai 332 orang pemain di dua divisyen tertinggi England dan Scotland yang tidak akan dapat bermain jika kelab di Britain tidak berada di dalam EU dahulu. Ketika itu, kelab dari Britain bebas untuk menandatangani pemain muda dari seluruh EU secara bebas.
Menurut The Telegraph, seramai 100 orang pemain Liga Perdana tidak akan mendapat permit kerja, berdasarkan Home Office Rules. Apabila Brexit dilaksanakan, pemain perlu mengikut peraturan yang sama untuk berkerja di Britain seperti pemain yang tidak berasal dari EU iaitu; perlu bermain secara kerap dengan pasukan kebangsaan (bermain 75% perlawanan antarabangsa dengan pasukan kebangsaan dalam tempoh beberapa tahun).
Adakah pemain seperti Cristiano Ronaldo atau Anthony Martial akan diberikan permit kerja ketika mereka tiba dari Portugal dan Perancis dalam usia remaja? Mungkin dan mungkin tidak jika ketika itu Britain tidak berada dalam EU.
Harga pemain akan menjadi lebih mahal untuk kelab Britain
Antara impak Brexit adalah kejatuhan nilai pound secara dramatik dan ia dijangka akan jatuh lagi dalam tempoh beberapa hari. Dengan kejatuhan ini, kelab Britain perlu membayar lebih 10% untuk membeli pemain berbanding kelab lain di Eropah dari segi yuran perpindahan dan gaji.
Kelab besar dan kaya mungkin tidak akan merasai impak ini dengan ketara. Tetapi, kelab-kelab di bawah mereka akan merasai akibatnya. Pemain seperti Raheem Sterling yang sebelum ini bernilai £49 juta mungkin boleh mencecah harga hampir £81 juta. Ini menjadikan beliau satu-satunya Sterling yang meningkat berbanding Pound Sterling.
Ini mungkin juga akan menyebabkan pemain dari Liga Perdana Inggeris dipancing oleh kelab besar lain di Eropah.
Akademi tidak boleh menandatangani bakat muda Eropah dengan mudah
Paul Pogba dan Cesc Fabregas suatu ketika dahulu, Timothy Fosu-Mensah, Bellerin dan ramai lagi bakat muda yang menyertai akademi kelab kelab Britain sebelum ini. Kita mungkin akan menyaksikan akademi kelab kelab Britain terpaksa bergantung kepada lebih ramai bakat tempatan selepas Brexit ini. Mengapa?
Dengan termaktubnya referendum ini, untuk mendapatkan permit bagi pemain muda akan menjadi lebih sukar. Selain itu, ibu bapa dan keluarga pemain muda akan sukar tinggal atau berkerja di Britain. Dalam usia muda, pastinya pemain-pemain ini mahu lebih dekat bersama keluarga.
Sebelum ini kelab Britain boleh menandatangani pemain di bawah umur 18 tahun, tetapi dengan Brexit, mereka akan tertakluk kepada undang-undang FIFA, iaitu kelab tidak boleh menandatangani pemain di bawah umur 18 tahun. Undang-undang ini tidak melibatkan negara di dalam EU, dan kini kelab Britain bakal tertakluk di bawah undang-undang ini. Kita akan melihat lebih ramai Francis Jeffers berbanding Paul Pogba selepas ini.
Penyokong perlu berbelanja lebih
Referendum Brexit ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada kelab dan pemain, tetapi juga penyokong. Bagaimana?
Kejatuhan nilai pound mungkin menyaksikan berlakunya kegawatan ekonomi. Ini akan menyebabkan penyokong perlu membayar lebih dari segi kos perjalanan (petrol) yang dilihat bakal meningkat 10% . Sama seperti di mana-mana dalam dunia, peningkatan kos akan menyebabkan kejatuhan dari segi kehadiran ke stadium kerana penyokong perlu mengawal perbelanjaan untuk meneruskan hidup.
Kelab di Liga Perdana Inggeris mungkin masih boleh bertahan disebabkan hak penyiaran, tetapi kelab di divisyen bawah yang bergelut untuk terus bertahan serta bergantung kepada kutipan tiket mungkin akan merana dan berkemungkinan boleh gulung tikar.
Rakyat Britain telah memilih. Semua kesan di atas dilihat bagaikan memberi kesan buruk kepada Liga Perdana Inggeris. Namun, kita mungkin akan menyaksikan lebih ramai pemain muda Inggeris seperti Marcus Rashford, Ruben Loftus-Cheek atau Reece Oxford diberikan peluang oleh kelab masing-masing. Setakat ini masih terlalu awal untuk kita meramal apa akan terjadi kepada Liga Perdana Inggeris. Siapa tahu, mungkin ada kesan positif dari referendum ini? Sama-sama kita tunggu.
Other posts by Khairul Nizam