Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei berharap dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik keduanya menjelang Kejohanan Memorial Kosanov XXVI di Almaty, Kazakhstan hujung minggu ini.
Kecederaan belakang yang dialami memaksa beliau terlepas dua temasya Sukan SEA – Myanmar pada 2013 dan Singapura tahun lalu.
Kini, atlet berusia 29 tahun itu telah disahkan cergas, dan bercadang untuk menjadi atlet lompat tinggi kedua yang layak ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro Ogos ini.
Pemenang dua kali pingat emas Sukan SEA Nauraj Singh Randhawa telah layak ke Olimpik Rio selepas memecahkan rekod kebangsaan apabila melepasi ketinggian 2.29m ketika memenangi pingat emas di Terbuka Singapura April lalu.
Untuk layak ke Olimpik di Rio de Janeiro Ogos ini, peserta perlu melepasi ketinggian 2.29m.
Hup Wei, yang telah menunjukkan peningkatan sejak berlatih di bawah jurulatih baru Aleksandr Gasparyan pada bulan Februari, telah menunjukkan prestasi baik dengan memenangi pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina pada bulan April dengan melepasi ketinggian 2.22m.
“Saya ada dua pertandingan lagi – Terbuka Kazakshtan dan Terbuka Thailand ( 4-7 Julai) – untuk layak ke Olimpik.
“Jika Nauraj boleh lakukannya….saya percaya saya juga boleh,” jelas Hup Wei yang pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) di Amman, Jordan pada 2007.
Hup Wei merupakan salah seorang dari 17 atlet – Sembilan lelaki dan lapan wanita – yang akan beraksi di Almaty.
Peserta lelaki yang lain adalah Jonathan Nyepa (100m), Muhammad Haiqal Hanafi (100m) , Asnawi Hashim (100m), Muhd Azam Masri (400m), Asif Rahman Jiyaudeen (800m), Putra Azrul Syazwan Azman (800m) Rayzam Shah Wan Sofian (110m berpagar) dan Muhd Hakim Ismail (lompat kijang).
Atlet wanita pula adalah Siti Fatima Mohamad, S.Komalam Shally, Zaidatul Husniah Zulkifli, Noor Eewan Syafiqah Mohd Sabri (100m, 4x100m; Nurul Faizah Asma Mazlan (400m, 4x100m); Savinder Kaur (800m); Yap Jeng Tzan (lontar cakera); dan Yap Sean Yee (lompat tinggi)
Other posts by Khairul Nizam