Badminton

Chong Wei direhatkan untuk Sukan Olimpik

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Lee Chong Wei tidak akan menyertai Terbuka Taiwan ( 28 Jun-3 Julai) kerana mengalami kecederaan pinggang selepas beraksi di Terbuka Indonesia bulan lalu.

Pemain No.1 dunia itu, yang turut menarik diri dari Terbuka Australia awal bulan ini, dinasihati oleh jurulatih Hendrawan dan physiotherapist Sandra Fiedler untuk berehat daripada menyertai kejohanan.

Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu mengikut nasihat yang diberi, apatah lagi dengan Sukan Olimpik yang akan berlangsung dua bulan lagi.

“Chong Wei tidak akan beraksi di Terbuka Taiwan kerana dia masih belum pulih sepenuhnya dari kecederaan pinggang di Indonesia,” beritahu pengarah teknikal BAM, Morten Frost, yang menambah bahawa persiapan pemain berkenaan untuk Olimpik berjalan lancar.

‘’Semua pemain telah berkerja keras dan tenang. Kami masih belum membuat keputusan siapa akan menjadi rakan latihan untuk Olimpik. Kami juga telah meminta pas masuk untuk rakan latihan daripada Majlis Olimpik Malaysia kerana kami hanya mempunyai dua pas harian untuk mereka ketika ini,” jelas beliau.

Rakan latihan untuk pemain badminton Olimpik negara akan diputuskan hujung bulan ini.

Juara remaja dunia, Goh Jin Wei akan mengetuai pasukan ke Kejohanan Remaja Asia (9-12 Julai) di Bangkok.

“Kami mempunyai pasukan terbaik kecuali bergu wanita. Kami hanya menghantar satu bergu kerana yang lain tidak memenuhi jangkaan,” jelas jurulatih perseorangan lelaki negara Indra Wijaya, yang turut berkata mereka boleh mara ke separuh akhir.

Jurulatih dari Indonesia itu turut meletakkan harapan Jin Wei akan menjadi juara dalam acara perseorangan.

“Berdasarkan prestasi semasa Jin Wei, dia boleh menang semua perlawanan dalam acara berpasukan dan individu.

“Saya hanya risaukan Natsuki Nidairi dari Jepun dan Thailand, yang kuat dalam acara perseorangan lelaki,” jelas Indra.

Malaysia tewas 3-0 kepada China di suku akhir tahun lalu dalam kejohanan tersebut yang juga berlangsung di Bangkok.

Other posts by