Archery

Skuad Memanah Paralimpik raih perak di Republik Czech

Selepas gagal meraih sebarang kejayaan pada Kejohanan Kelayakan Sukan Paralimpik Rio, skuad memanah recurve elit paralimpik negara berjaya meraih pingat perak dalam Kejohanan Ranking Memanah Para 2016 di Nove Mesto, Republik Czech, semalam.

Skuad negara yang terdiri daripada Hasihin Sanawi, Ahmad Jaffry Jamaluddin dan Daneshen Govinda Rajan menunjukkan aksi cemerlan untuk melangkah ke peringkat akhir.

Namun, perjuangan mereka disekat oleh pasukan Thailand yang terdiri daripada Boonyarit Chaipoon, Hanreuchai Netsiri dan Sakon Inkaew dengan hanya satu mata dalam penentuan ‘shoot-off’ 25-26 selepas terikat 4-4.

Skuad negara beraksi baik pada pusingan pertama apabila menumpaskan Mongolia 5-3 dan menewaskan Russia 6-2 di peringkat suku akhir.

Rentak cemerlang mereka diteruskan apabila berjaya menewaskan Jepun 5-3 di separuh akhir.

Nasib berbeza diterima skuad compound lelaki negara yang terdiri daripada Mohd Zafi Rahman Mat Saleh, Yuhaizam Yahaya dan Azrul Abdul Rashid apabila perjuangan mereka tersekat di peringkat suku akhir.

Skuad negara tewas kepada barisan pemanah Russia yang dianggotai Ruslan Ramazanov, Ivan Kozlov dan Aleksander Zubar dari Russia 198-224. Mereka menewaskan pasukan Slovakia di pusingan pertama 215-209.

Other posts by