Cycling

Kuartet Sukan SEA negara rangkul emas di Taiwan

Kuartet lumba basikal negara, Afiq Huznie Othman, Irwandie Lakasek, Akmal Hakim Zakaria dan Eiman Firdaus Mohd Zamri membawa pulang satu-satunya pingat emas Malaysia di Kejohanan Piala Trek Klasik Antarabangsa Taiwan di Hsin Chu Velodrome.

Kuartet kebangsaan itu mencatatkan masa 4:44:782 dalam acara akhir elite lelaki menewaskan tuan rumah, Taiwan, yang mencatatkan masa 4:49:353, di tempat kedua pada hari Sabtu.

Kesemua pelumba tersebut berada di bawah program Kita Juara dengan sasaran untuk merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tahun hadapan. Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA dalam acara tersebut adalah di Indonesia pada tahun 2011.

Juara remaja Asia tahun lalu, Muhd Fadhil Mohd Zonis, juga berjaya ke podium dan berada di kalangan pelumba elit selepas memenangi pingat gangsa dalam acara pecut lelaki. Namun, pelumba kelahiran Selangor itu hanya mampu mendapat tempat keempat dalam acara ujian masa 1km dengan catatan masa 1:09.537.

Anis Amira Rosdi dan Muhd Daniel Haikkal Edu Suhaidee juga membawa pulang dalam kategori remaja.

Anis, 17 tahun, memenangi pingat gangsa dalam acara ujian masa 500m remaja wanita dengan catatan masa 39.414. Dia juga merangkul pingat gangsa dalam final acara Keirin.

Daniel, 16 tahun, pula berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara keirin. Anis dan Daniel akan menyertai Kejohanan Remaja Dunia di Aigle, Switzerland, pada 20-24 Julai ini.

Daniel berjaya merangkul pingat perak dalam acara perlumbaan mata remaja sementara Anis merangkul pingat gangsa dalam acara kejar mengejar individu di Kejohanan Asia di Shizuoka, Jepun pada bulan Januari.

Kedua-dua pelumba akan berlepas untuk menjalani latihan di Pusat Lumba Basikal Antarabangsa UCI (WCC) di Aigle, Switzerland sebelum terus ke Kejohanan Remaja Dunia.

Sementara itu, Fadhil akan menyertai Mohd Sharif Efendi Shahrin, Khairil Nizam Rasol dan Farina Shawati Mohd Adnan yang akan bertanding di Piala Trek Jepun I dan II di Shizuoka pada 8-10 Julai.

“ Terdapat banyak potensi di kalangan pelumba muda ini. Mereka perlu belajar bertanding di kejohana sebegini kerana kita tidak ada banyak perlumbaan di Malaysia,’’ jelas jurulatih kebangsaan John Beasley.

Other posts by