Football

Semua tekanan di bahu saya – Zlatan Ibrahimovic

Zlatan Ibrahimovic berkata beliau berada dalam tekanan untuk menunjukkan aksi terbaik menjelang perlawanan pembukaan Sweden di Euro 2016 menentang Ireland di Stade de France mala mini, tetapi tekanan terbesarnya datang dari dirinya sendiri.

Ditemani jurulatih Erik Hamren, ketua pasukan berusia 34 tahun itu dalam satu sidang media menyatakan bahawa beliau tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan berkenaan.

“Saya mempunyai tekanan paling hebat, dan ia datang dari diri saya sendiri,” jelas beliau kepada wartawan. “Mereka yang lain boleh bertenang, mereka boleh masuk ke padang dan beraksi dengan baik. Saya akan mengambil semua tekanan dari mereka.”

Diundi bersama Belgium dan Itali dalam Kumpulan E, pasukan Sweden pastinya mahu mencari kemenangan dalam perlawanan pembukaan mereka menentang Ireland yang akan memberikan mereka kelebihan untuk layak ke pusingan kalah mati.

“Kami di sini bukan untuk melihat orang lain bermain bola sepak; kami akan berusaha sebaik mungkin untuk layak,” ujar beliau kepada wartawan.

Hamren memberitahu bahawa pasukan kendaliannya tiada sebarang kecederaan menjelang pertemuan tersebut dan kesemua pemain telah mengambil bahagian dalam sesi latihan sejak tiba di Perancis pada hari Rabu yang lalu.

Ibrahimovic yang menjulang pelbagai trofi di Paris Saint Germain berharap akan dapat membantu Sweden untuk mara lebih jauh berbanding pada Euro 2012 di mana mereka tersingkir di peringkat kumpulan.

“Kami mahukan permulaan yang baik dan keputusan yang bagus esok,” kata Ibrahimovic, “Sasaran saya adalah untuk menikmatinya dan buat yang terbaik.

“Saya rasa kuat, saya melalui musim yang baik dan saya berharap dapat meneruskannya ( dalam kejohanan ini.”

Other posts by