Ng Eain Yow mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir Kejohanan Squash New Zealand Classic selepas mengejutkan pemain pilihan ketujuh Joshua Larkin dari Australia 8-11,11-6,11-8,9-11,12-10 dalam pusingan pertama di Palmerston North pada hari Khamis.
Pemain nombor 182 dunia itu menggunakan kejohanan ini sebagai persediaan ke Kejohanan Remaja Dunia di Poland pada 6-17 Ogos ini.
“Bertanding di New Zealand adalah satu cara yang bagus untuk persediannya ke kejohanan remaja dunia kerana dia boleh berlatih dan bertanding dengan pemain yang memiliki cara permainan berbeza,” jelas jurulatih remaja negara Andrew Cross.
“Dia mempunyai kebolehan untuk menyesuaikan diri dengan corak perlawanan berbeza dan dia menunjukkan peningkatan yang bagus. Dia sedang menekan pemain senior… dan ianya bagus apabila dia sentiasa mencari cara baru untuk meningkat.”
Juara Terbuka Remaja British tiga kali itu akan bertemu pemain pilihan kedua Rex Hedrick dari Australia di suku akhir.
Pemain nombor dua negara, Ivan Yuen turut mara selepas mudah menewaskan Ashley Davies dari England dalam pusingan pertama.
Yuen menang 11-7, 11-5,11-4 dan akan bertemu Peter Creed dari Wales dalam perlawanan seterusnya.
Seorang lagi wakil Malaysia, Mohd Syafiq Kamal walaubagaimanapun gagal mara selepas tewas 8-11, 6-11, 3-11 kepada pilihan utama Paul Coll dari New Zealand.
Other posts by Khairul Nizam