Badminton

Chong Wei boleh menang pingat emas di Rio – Frost

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen percaya Datuk Lee Chong Wei berpeluang untuk merangkul pingat emas yang dinanti negara di Sukan Olimpik Rio pada Ogos ini jika dia meneruskan prestasi cemerlangnya.

Frost menegaskan bahawa ini boleh dibuktikan selepas bintang badminton negara itu memenangi gelaran Terbuka Indonesia buat kali keenam sekaligus merampas kedudukan pertama dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) daripada pemain China, Chen Long.

Kali terakhir Chong Wei memegang kedudukan pemain nombor satu dunia adalah pada Disember 2014, sebelum menerima penggantungan selama lapan bulan oleh BWF.

“Seperti saya sering katakana, Chong Wei berpeluang untuk memenangi pingat emas di Rio kerana kita boleh saksikan kejayaan beliau di setiap kejohanan yang disertainya.

“Jika dia menang Terbuka Australia (Super Series) minggu ini, saya percaya ia akan menaikkan semangatnya untuk mempamerkan aksi terhebatnya di Olimpik Rio,” jelas Frost.

Apabila ditanya jika Chong Wei akan menjalani latihan khas sebelum ke Rio, Frost berkata beliau akan berbincang dengan jurulatih Chong Wei, Hendrawan dan Tey Seu Bock.

Sementara itu, Frost yakin bahawa pemain badminton wanita utama negara, Tee Jing Yi akan pulih dari kecederaan buku lali sebelum BAM mengeluarkan senarai pemain yang akan ke Rio.

Jing Yi mengalami kecederaan buku lali ketika Grand Prix Emas Kebangsaan bulan lalu dan BAM telah menamakan pemenang kejohanan Dunia 2015 Goh Jin Wei sebagai pemain simpanan ke Rio jika Jing Yi tidak dapat pulih dari kecederaan.

“Dia (Jing Yi) hanya mengalami kecederaan ringan dan saya tidak rasa itu akan menjadi masalah untuk dia kembali cergas sebelum kami membuat keputusan siapa akan bermain di Olimpik,” tambah Frost.

BWF telah menetapkan tarikh 18 Julai sebagai tarikg akhir untuk menghantar nama pemain yang akan ke Olimpik Rio.

Other posts by