Badminton

Chong Wei kembali bergelar pemain nombor satu dunia

Datuk Lee Chong Wei bakal kembali ke gelaran pemain nombor satu dunia mengatasi Cheng Long selepas menumpaskan pemain Denmark Jan O Jorgensen untuk memenangi gelaran keenam beliau dalam kejohanan Terbuka Indonesia.

Pemain pilihan kedua, Chong Wei bangkit selepas tewas di set pertama untuk menundukkan Jorgensen yang merupakan pemain pilihan kelima kejohanan 17-21,21-19,21-17 dalam satu perlawanan yang sengit.

Jorgensen, pemain ranking kelima dunia, mendominasi di awal permainan dan kelihatan bakal muncul juara selepas mendahului di set kedua.

Namun, pemain ranking kedua dunia, Chong Wei bangkit semula dengan memenangi beberapa rally untuk terus mengejar dan akhirnya memenangi set kedua.

Di hujung set ketiga, Lee berjaya mengawal keadaan dan memenangi perlawanan selepas keyakinan Jorgensen mula luntur.

Kemenangan ini akan memberi lebih keyakinan kepada Chong Wei menjelang Sukan Olimpik di Rio de Janeiro musim panas ini, di mana pemain berusia 33 tahun itu akan sekali lagi cuba memenangi pingat emas Olimpik.

Dalam dua Sukan Olimpik yang lepas, Lee Chong Wei tewas kepada pesaing terdekatnya, pemain China Lin Dan.

Other posts by