Football

Kim Swee harapkan keajaiban Larkin

Tekanan mula dirasai ketua jurulatih Malaysia, Datuk Ong Kim Swee dan anak buahnya menjelang pertemuan menentang Timor Leste dalam perlawanan play-off Kelayakan Piala Asia 2019 malam ini.

Malaysia masih belum mencipta sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan sejak Ong Kim Swee mengambil tugasan selaku ketua jurulatih Malaysia tahun ini.

“Untuk mencapai kemenangan, kita perlu melakukan segala-galanya yang boleh terutama dengan kelebihan beraksi di laman sendiri. Jaringan gol cukup penting. Saya percaya jika kita beraksi mengikut perancangan, jaringan gol akan hadir,” ujar Kim Swee.

Namun begitu, Kim Swee tidak dapat menggunakan khidmat dua tonggak utamanya – Safiq Rahim (kecederaan paha) dan pemain sayap pantas R. Gopinathan (lutut) untuk perlawanan ini.

“Tanpa Safiq Rahim yang terpaksa diketepikan terus kerana kecederaan, saya mempunyai beberapa pemain yang boleh mengisi posisinya di bahagian tengah seperti Amirulhadi Zainal, Amirul Hisyam Awang Kechik, Abdul Latiff Suhaimi, Brendan Gan, Junior Eldstal, Ahmad Fakri Saarani dan juga Baddrol Bakhtiar.

“Timor-Leste saya anggap pasukan yang sama kekuatan dengan kita dengan kemasukan beberapa pemain naturalisasi. Ia pasti akan tetap menjadi satu perlawanan yang sukar kerana Timor-Leste sekarang jauh berbeza dengan Timor-Leste 10 tahun yang lalu,” tambah Kim Swee.

Timor-Leste akan diperkuatkan dengan empat pemain naturalisasi dari Brazil iaitu Ramon Saro, Diogo Rangel, Paulo Ribeiro dan Junior Aparecido.

Malaysia telah dua kali bertemu Timor-Leste dalam kelayakan Piala Dunia 2018 tahun lepas dan mencatatkan kemenangan 1-0 di Dili dan seri 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Other posts by