Pemain ranking 37 dunia, Low Wee Wern mara ke undian utama selepas melepasi halangan pertama dalam pusingan kelayakan Kejohanan Skuasy Terbukan Antarabangsa Kelab Bola Sepak Hong Kong yang berlangsung di HKFC, semalam.
Wee Wern yang menewaskan Tong Tsz-Wing dari Hong Kong dalam perlawanan kelayakan pertama semalam berdepan cabaran hebat dari pemain Jepun, Misaki Kobayashi sebelum menewaskannya 11-4,11-8,5-11,8-11,11-5 dalam masa 51 minit itu bagi kategori wanita menurut laman web www.squashsite.co.uk.
Pemain berusia 25 tahun dari Pulau Pinang itu yang mengalami prestasi tidak menentu musim ini,bakal berdepan cabaran getir menentang pemain nombor 19 dunia, Dipika Pallikal dari India dalam perlawanan pembukaan,hari ini.
Juga menempah tempat ke undian utama adalah Ivan Yuen yang menewaskan Shahjahan Khan dari Pakistan 11-6,11-7,10-12 dan 11-7 tetapi menanti beliau di pusingan pertama adalah pilihan utama kejohanan, Max Lee dari Hong Kong.
Namun, seorang lagi pemain Malaysia, Elvinn Keo gagal mara selepas tewas kepada seorang lagi pemain Pakistan, Tayyab Aslam, apabila tewas 13-11,7-11, 17-15 dan 2-11.
Dua lagi pemain Malaysia, Muhd Nafiizwan Adnan dan Delia Arnold yang menerima bye di pusingan kelayakan akan memulakan cabaran mereka hari ini.
Pemain berpengkalan di Manchester, Nafiizwan Adnan, pilihan ketiga kejohanan akan berdepan Mahesh Mangaonkar dari India dalam kategori lelaki sementara Delia akan menentang pemain tuan rumah, Vanessa Chu dalam kategori wanita.
Other posts by Khairul Nizam