Badminton

Misbun bukan punca Malaysia tewas – KJ

Dakwaan bahawa pemain Denmark berlatih bersama Datuk Misbun Sidek di Kelab Badminton Nusa Mahsuri tidak patut dikaitkan dengan kemenangan Denmark di Piala Thomas atau kekalahan Malaysia kepada Denmark di separuh akhir.

Menteri Belia dan Sukar Khairy Jamaluddin berkata ianya satu perkara yang diperbesar jika mengatakan kejayaan Denmark adalah kerana pemain mereka berlatih bersama Misbun untuk beberapa hari.

“Saya tidak rasa ada apa apa isu kerana mereka tidak berlatih di Nusa Mahsuri tetapi cuma menghabiskan masa beberapa hari bersama Misbun dan kelab berkenaan sebelum Terbuka Malaysia bulan lepas.

“Saya rasa ianya diperbesarkan…Mereka menghabiskan masa beberapa hari bersama Misbun tak bermakna mereka berlatih di bawah dia dan dia menjadi jurulatih mereka,” jelas beliau kepada wartawan selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman di antara kementerian beliau dan DRB Hicom, semalam.

Beliau mengulas mengenai berita kejayaan bersejarah Denmark menjulang Piala Thomas pada hari Ahad disebabkan tunjuk ajar Misbun kepada pemain Denmark.

Antara pemain Denmark yang menghabiskan masa bersama Misbun sebelum Terbuka Malaysia adalah Hans-Kristian Vittinghus dan Jan O Jorgensen yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Piala Thomas pertama Denmark selepas menewaskan Indonesia 3-2 di perlawanan akhir.

Malaysia yang diketuai Datuk Lee Chong Wei juga tewas kepada Denmark 3-2 dalam aksi separuh akhir, sekaligus gagal mengulangi pencapaian tempat kedua di New Delhi, India, dua tahun lalu.

Khairy juga menjelaskan bahawa kenyataan beliau berkenaan khidmat Chong Wei dalam Piala Thomas 2018 hanyalah satu pilihan taktikal dan bukan arahan kepada Chong Wei untuk terus kekal.

“Saya hanya memberitahu bahawa mungkin ada pilihan taktikal, saya tidak kata sahu mahu dia (Chong Wei) untuk kekal…ia hanya pilihan taktikal, untuk perseorangan ketiga, jika perlu, itu sahaja,” jelas beliau.

Khairy dilaporkan berkata khidmat Chong Wei masih diperlukan dalam Piala Thomas 2018.

Other posts by