Badminton

Pasukan badminton Malaysia mara ke separuh akhir Piala Thomas

Skuad Badminton negara berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala Thomas selepas menundukkan Chinese Taipei 3-1.

Perseorangan pertama negara, Datuk Lee Chong Wei memulakan langkah Malaysia dengan bergaya apabila menundukkan perseorangan pertama Chinese Taipei, Chou Tien Chen 21-18, 21-18.

Namun Chinese Taipei menyamakan kedudukan melalui pasangan beregu mereka Lee Sheng Mu dan Tsai Chia Hsin yang menewaskan beregu utama negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong 16-21, 21-19 dan 21-19.

Malaysia kembali ke depan melalui perseorangan kedua negara Iskandar Zulkarnain yang mudah menewaskan perseorangan kedua Chinese Taipei Hsu Jen Hao 21-8, 21-13.

Peluang Chinese Taipei untuk menyamakan kedudukan buat kali kedua gagal apabila beregu kedua negara Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong meranapkan peluang mereka apabila menewaskan pasangan Lee Chen Hung dan Wang Hi 21-16, 22-20 sekaligus membantu Malaysia mara ke Separuh Akhir.

Malaysia dijangka bertemu sama ada juara bertahan Jepun atau Denmark dalam pusingan separuh akhir Piala Thomas 2016 yang akan berlangsung esok.

Other posts by