Badminton

Malaysia vs Taiwan di suku akhir Piala Thomas

Malaysia diundi bertemu Taiwan dalam aksi suku akhir Piala Thomas 2016.

Malaysia selaku juara Kumpulan C selepas menewaskan Korea Selatan 3-2 dapat mengelak bertemu pasukan pilihan seperti China di suku akhir.

Malaysia mencatat tiga kemenangan berturut, 4-1 menentang England dan 5-0 ke atas Jerman untuk muncul juara Kumpulan C.

Pada majlis undian yang dijalankan selepas tamat peringkat kumpulan sekitar jam 1 pagi hari ini, juara bertahan Jepun diundi bertemu Denmark sementara tuan rumah China akan bertemu Korea Selatan dan Indonesia bertemu Hong Kong.

Dalam saingan Piala Uber pula, juara bertahan dan pilihan utama China akan bertemu Taiwan, sementara Jepun akan menentang Denmark.

Korea Selatan perlu berdepan Indonesia sementara Thailand menentang India.

Undian peringkat kalah mati dijalankan selepas peringkat kumpulan di mana dua pasukan teratas disahkan dari setiap kumpulan.

Dalam saingan Piala Thomas, China dan Japan muncul No.1 dan No 2 bagi Kumpulan A; Indonesia dan Hong Kong untuk Kumpulan B; Malaysia dan Korea Selatan bagi Kumpulan C serta Denmark dan Taiwan dari Kumpulan D.

Bagi saingan Piala Uber pula, China dan Denmark merupakan pasukan No.1 dan No.2 Kumpulan A; Korea Selatan dan Taiwan bagi Kumpulan B; Thailand dan Indonesia dari Kumpulan C dan Jepun dan India dari Kumpulan D.

Majlis undian dijalankan di hadapan Ketua Pengadil, pengurus setiap pasukan dan pihak media.

Other posts by