Putrajaya: Dua atlet terbaik negara, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David, buat pertama kali tidak disenarai pendek untuk memenangi anugerah Olahragawan dan Olahragawai Negara 2015.
Ketua Setiausaha Kementarian Belia dan Sukan Datuk Lokman Hakim Ali berkata, calon senarai pendek anugerah tersebut adalah berdasarkan prestasi pada tahun 2015.
“Pemilihan calon bagi Olahragawan dan Olahragawati sangat mencabar, kerana semua calon perlu membuktikan kejayaan mereka pada tahun lalu, dan pemilihan adalah berdasarkan kualiti yang ditonjolkan atlet,” jelas beliau selepas mempengerusi Jawatankuasa Pemilih Anugerah Sukan Negara 2015 di Menara KBS, semalam.
Menurut beliau, jawatankuasa telah menerima 18 pencalonan bagi kategori olahragawan dan 17 untuk olahragawati, di mana enam calon terbaik akan disenarai pendek untuk setiap kategori.
Calon untuk Olahragawan Negara adalah Ooi Tze Liang (terjun) , Mohd Al-Jufferi Jamari (Silat), Muhammad Rafiq Ismail (bowling), Thor Chuan Leong (Snooker/Billiard), Loh Jack Chang (Wushu) dan Mohd Harrif Saleh (lumba basikal)
Sementara calon untuk Olahragawati pula adalah Pandelela Rinong Pamg (terjun), Nur Izzati Yaakob (bola keranjang), Fatin Nurfatehah Mat Salleh ( memanah), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat), Nur Syazrin Muhammad Latif (kapal layar) dan Chan Lu Yi (wushu).
Pemenang anugerah Olahragawan dan Olahragawati 2015 akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM20,000, sebuah trofi dan sijil dan buat pertama kali, Malaysia Airlines akan menaja tiket penerbangan business class ke destinasi luar negara.
Selain anugerah Olahragawan dan Olahragawati, lapan lagi anugerah akan diberi iaitu pasukan kebangsaan lelaki dan wanita terbaik, anugerah Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik terbaik, jurulatih lelaki dan wanita kebangsaan terbaik, Anugerah Tokoh Sukan dan Anugerah kepimpinan sukan.
Anugerah sukan edisi ke-50 ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 25 Mei ini.
Other posts by Khairul Nizam