Pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin mendapat berita gembira apabila Litar Antarabangsa Sepang memberi jaminan bahawa beliau akan tetap dapat berlumba walaupun kontrak hak penganjuran perlumbaan motosikal kedua terbesar di negara ini tidak dilanjutkan lagi tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) , Datuk Razlan Razali memberi jaminan itu selepas pusingan 6 WSBK bagi musim 2016 menutup tirainya Ahad lalu sekaligus menjadi perlumbaan terakhir selepas mendapat hak penganjuran sejak tahun 2014.
“Kami sedar yang dia masih boleh berlumba, masih mempunyai skil dan menunjukkan keinginan penuh mahu beraksi selain ingin terus beraksi dalam kelas Supersport tahun hadapan,” jelas Razlan kepada Berita Harian.
“Jika kita ingin teruskan atau tidak pembabitan beliau (Zulfahmi) sebenarnya asas kita adalah ingin dia terus menyertai perlumbaan kerana dia sudah melakukan sesuatu yang positif dan kita ingin terus bersamanya.
“Kami sudah banyak melabur dengannya.. enam tahun bersama dia dan kami perlu teruskan sokongan ini sehingga satu masa nanti difikirkan sebagai penamat kariernya.”
Zulfahmi yang merupakan pelumba pasukan Orelac Racing VerdNatura itu berjaya mengulangi pencapaian terbaiknya di podium pada tahun 2012 selepas meraih penamat kedua di perlumbaan Pusingan 6 kelas Supersport WSBK di Litar Sepang Ahad lalu.
Other posts by Khairul Nizam