Ekslusif: Kita hanya akan maju sekiranya TMJ ambil alih FAM – Datuk M. Karathu
Legenda bola sepak Malaysia, Datuk M. Karathu percaya sudah tiba masanya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak habis-habisan dan mendakwa nepotisme serta ketidakcekapan akan terus menghantui bola sepak tempatan jika tidak ada perubahan yang berlaku.
Bekas pemain berusia 73 tahun ini sudah lebih lima dekad setia bersama bola sepak tempatan sejak memulakan kerjaya bola sepak pada tahun 1961. Karathu menjaringkan gol pertama dalam aksi final Piala Malaysia pada tahun 1964 dan membantu Perak menjulang kejuaraan Piala FA selaku jurulatih pada tahun 1990, terbaru beliau membawa Kelantan muncul juara Liga Super pada 2011.
Lebih penting, Karathu telah melihat sendiri bola sepak tempatan melalui detik hitam tanpa sebarang pencapaian dan kemajuan memberangsangkan. Kini, beliau melihat tiada cara ke depan selain Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim mengambil alih tampuk kepimpinan FAM.
“Jika anda lihat, saya sudah jadi sebahagian daripada sistem ini untuk bertahun-tahun dan saya telah melalui segalanya. Daripada melihat sendiri gejala atur perlawanan, rasuah sehingga pentabdiran yang tidak teratur. Perkara seperti ini akan terus berlarutan jika tiada reformasi yang sebenarnya,’ ujar Karathu kepada FourthOfficial.com
“Kita hanya boleh maju ke depan jika TMJ ambil alih FAM. Barulah kita akan ada idea-idea moden. Kita akan nampak kepimpinan yang lebih teratur dan secara tidak langsung ia akan membantu pembangunan bola sepak tempatan,” tambah Karathu.
Tunku Ismail terkenal sebagai ikon bola sepak di Malaysia terutamanya selepas menjadi tulang belakang kebangkitan Johor Darul Ta’azim. Di bawah kepimpinan Tunku Ismail, Harimau Selatan telah menjuarai Liga Super dua musim berturut-turut dan buat julung kalinya merangkul kejuaraan Piala AFC tahun lalu sekaligus, pasukan pertama Asia Tenggara mengecapi kejayaan itu.
Johor Darul Ta’azim juga menjalinkan kerjasama dengan kelab seperti Borussia Dortmund dan Valencia selain mempunyai infrastruktur dan kemudahan bola sepak terbaik di Malaysia. Namun, bagi Karathu, perubahan terbesar yang dibawa oleh Tunku Ismail kepada JDT adalah ‘budaya profesionalisme’ – sesuatu yang amat diperlukan dalam FAM ketika ini.
“Apa yang dilakukan Tunku Ismail untuk JDT adalah sesuatu yang menakjubkan. Ianya bukan sekadar tentang pemain ataupun infrastruktur. Ianya adalah perubahan mentaliti. Keinginan untuk mendapatkan kejayaan. Tunku Ismail perlu berada dalam FAM dan melakukan perubahan mentaliti dalam persatuan.
“Penasihat? Tidak, Tunku Ismail perlu menjadi Presiden FAM yang seterusnya. Itu sahaja caranya untuk melaksanakan perubahan yang sepatutnya. Jika tidak, bola sepak Malaysia akan terus kekal tepu. Terlalu banyak campur tangan politik dan kita tidak perlukan semua ini,” ujar bekas ketua jurulatih Perak mengakhiri temubual ini