Kata Gomez, JDT telah bermain dengan baik ketika menentang Felda United di Larkin pada hari Sabtu yang lalu namun menganggap nasib tidak berpihak kepada pasukannya.

“Pemain sudah menghasilkan beberapa peluang, termasuk gol tandukan Hariss yang dibatalkan pengadil, malah kami juga tidak mendapat sepakan penalti walaupun Mahalli dijatuhkan oleh pemain pihak lawan dalam kotak penalti.

“Tetapi saya tidak mahu meletakkan kekalahan ini atas beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil kerana sebenarnya Felda juga bermain dengan amat baik.

“Kami juga bermain dengan baik, namun tuah tidak memihak kepada JDT. Bagaimanapun, saya berpuas hati dan gembira dengan pencapaian pemain dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ini adalah musim yang terbaik bagi kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.