Football

Bina keyakinan dari kekalahan UAE – OKS

Jurulatih sementara pasukan Malaysia, Ong Kim Swee berkata pemain-pemain kebangsaan perlu membina keyakinan daripada permainan positif yang ditunjukkan meskipun tewas 2-1 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 semalam menyaksikan Malaysia hanya tewas tipis 2-1 kepada UAE di mana pasukan UAE mendahului dengan dua gol menerusi Omar Abdulrahman dan Ahmed Khalil manakala gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar.

Ong berkata pasukan negara telah menunjukkan satu kerjasama yang cukup tinggi sebagai satu pasukan dan berharap para pemain dapat menggunakan keputusan UAE ini sebagai satu inspirasi untuk bermain dengan lebih baik dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

“Kita telah menunjukkan satu persefahaman yang baik dari segi pertahanan, malah berkesan sebagai satu unit. UAE merupakan satu pasukan yang cukup kuat, jadi sudah tentu kita perlu mempertahankan gawang dengan baik, saya tak kata kita bermain 100 peratus bagus, tapi kita sudah menunjukkan kemampuan yang kita boleh betul-betul berdisiplin ketika bertahan.

“Memang kita kalah tetapi kita perlu realistik di sini, UAE berada di tempat ketiga dalam Piala Asia, kedudukan di tangga ke-67 dunia, tetapi kita hanya tewas dengan  dua gol. Jadi, walaupun tewas keputusan ini lebih baik daripada keputusan-keputusan sebelum ini yang menyukarkan pemain untuk bermain dengan penuh tekanan dari pelbagai pihak.

“Yang penting di sini kita perlu membina keyakinan daripada keputusan ini untuk maju ke hadapan dan ia akan menjadi satu motivasi untuk kita bermain dengan lebih baik dan konsisten pada masa-masa akan datang,” katanya semasa sidang media selepas perlawanan.

Malaysia akan menghadapi perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Arab Saudi pada 24 Mac tahun depan.

Other posts by