Football

Malaysia 1-2 UAE: Keputusan positif buat tuan rumah meskipun tewas

Tatkala ramai yang meramalkan Malaysia akan tewas kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan jumlah jaringan yang besar seperti sebelum ini, pasukan negara berjaya membuktikan sebaliknya apabila mereka sekadar tewas tipis 2-1 di Stadium Shah Alam kali ini.

Dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 itu, UAE hanya menjaringkan dua gol menerusi jaringan Omar Abdulrahman dan Ahmed Khalil di mana kedua-duanya hasil kesilapan pasukan negara sendiri manakala gol saguhati dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar hasil sepakan percuma dari Safiq Rahim.

Perlawanan bermula dengan agak perlahan apabila kedua-dua pasukan bergelut dengan keadaan padang yang basah dan bermain dengan penuh berhati-hati.

UAE ternyata lebih mendominasi permainan namun masih sukar untuk menembusi benteng pertahanan negara.

Namun pasukan negara akhirnya dibolosi setelah Azamuddin Akil tersilap memberikan bola kepada Omar Abdulrahman yang terus menyepak bola dari luar kotak penalti menerjah ke gawang gol Malaysia, memberikan gol pendahuluan buat pasukannya pada minit ke-22.

UAE terus-menerus mengasak ke kubu pertahanan negara namun gagal mendapatkan sebarang gol tambahan sehingga separuh masa pertama berakhir.

Malaysia bermula dengan lebih baik pada separuh masa kedua apabila berjaya mengawal bola dan mengatur beberapa serangan ke arah benteng pasukan pihak lawan.

Namun pasukan negara sekali lagi dikejutkan oleh UAE apabila Ahmed Khalil berjaya membebaskan diri dari perangkap ofsaid lalu terus mengambil hantaran jauh Omar Abdulrahman dan dengan mudahnya melepasi Izham Tarmizi untuk gol kedua buat UAE pada minit ke-52.

Perlawanan tampak makin sukar namun Malaysia akhirnya berjaya menebus kesilapan sebelum ini apabila Baddrol Bakhtiar berjaya menanduk masuk bola ke gawang pihak lawan hasil sepakan percuma Safiq Rahim, menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-59.

Kedua-dua pasukan cuba mendapatkan gol tambahan namun penyudah yang tumpul serta pertahanan yang kukuh menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan 2-1 sebaik sahaja tamat perlawanan.

Other posts by