Walaupun Safiq sendiri mengakui yang dia masih lagi dihantui dengan kekalahan itu, namun, dia akan memastikan bahawa perkara yang sama tidak akan berulang lagi di Stadium Shah Alam kali ini.

“Saya percaya kekalahan buruk itu masih lagi diingati tetapi ia telah pun berlaku dan kita perlu melihat ke hadapan untuk perlawanan esok (hari ini). Saya dan rakan-rakan tekad tidak akan membenarkan perkara itu berulang lagi.

“Ini kerjaya kami, suka atau tidak suka orang bercakap buruk kita harus bersikap terbuka untuk menerimanya dan pada masa yang sama kita perlu berusaha dan membuktikan sesuatu.

“Lagipun ini merupakan aksi terakhir saya buat negara bagi tahun ini dan semestinya saya mahu mencari penamat yang positif buat diri saya dan pasukan negara. Kita mahu kembalikan maruah Harimau Malaya dan Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di Wisma FAM, semalam.