Penyerang kebangsaan, Safee Sali menegaskan bahawa pasukan negara akan terus berjuang demi mempertahankan maruah bola sepak negara biarpun terus-menerus dikecam setelah tewas 6-0 kepada Palestin pada hari Khamis yang lalu.
Pemain berusia 31 tahun itu dipanggil semula ke pasukan kebangsaan untuk menghadapi Emiriah Arab Bersatu (UAE) esok setelah Amri Yahyah digantung satu perlawanan manakala Hazwan Bakri pula bakal melangsungkan perkahwinannya pada 20 November ini.
Bagi Safee, setelah pasukan negara mengalami kekalahan yang memalukan, sudah tiba masa baginya untuk menyumbang sesuatu yang positif buat pasukan negara kali ini.
“Dalam perlawanan bola sepak, kita ada tugas masing-masing, tapi semua pemain perlu bekerjasama ketika menyerang dan bertahan bersama-sama. Saya yakin pemain yang ada sekarang mampu melakukannya.
“Ia tugas yang berat untuk saya apabila dipanggil semula. Saya cuma harap dapat membantu ketika menghadapi UAE nanti,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Selain dari Safee Sali, beberapa pemain lain turut dipanggil semula iaitu Baddrol Bakhtiar, Azamuddin Akil, Farhan Abu Bakar dan muka baru Jasazrin Jamaluddin bagi menggantikan Khairul Fahmi Che Mat yang bakal menimang cahaya mata, manakala Nazirul Naim dan Razman Roslan mengalami kecederaan.
Perlawanan kelayakan Piala Dunia di Stadium Shah Alam esok bakal menemukan kembali pasukan yang pernah menewaskan Malaysia 10-0, satu rekod kekalahan yang paling teruk dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Other posts by Omar Zin