Football

“Ia kekalahan yang teruk” – Datuk Ong Kim Swee

Hasrat pasukan Malaysia untuk memberikan kejutan kepada Palestin terkubur begitu sahaja setelah tewas 6-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan malam tadi.

Kekalahan tersebut mengulangi rekod kekalahan pada 16 Jun yang lalu apabila pasukan negara yang ketika itu dibimbing oleh Dollah Salleh turut tewas dengan jumlah jaringan yang sama kepada Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Jurulatih sementara pasukan negara, Ong Kim Swee tidak menjangka pasukannya akan tewas dengan jumlah jaringan yang besar sekali lagi dan menganggap ianya perlu diperbaiki agar perkara yang sama tidak berulang lagi pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Sudah tentu saya tak menjangka yang kami akan tewas dengan jaringan yang besar lagi seperti apa yang berlaku sebelum ini. Ia satu keputusan yang teruk.

“Pemain sudah berikan segalanya tetapi ianya masih belum mencukupi. Jumlah gol yang bolos itu sudah cukup teruk dan seperti apa yang kita lihat, banyak lagi perkara yang perlu di perbaiki.

“Apa yang penting sekarang, kami perlu pandang ke hadapan untuk perlawanan berikutnya bertemu UAE di Stadium Shah Alam minggu depan. Apa saja perubahan yang perlu dibuat, kami akan buat.

“Saya tahu UAE bukan lawan yang mudah tetapi pemain perlu segera bangkit daripada kekalahan ini,” katanya dalam satu sidang media selepas perlawanan semalam.

Pasukan negara sudah bertahan dengan cukup baik sepanjang 30 minit pertama perlawanan namun kesilapan individu dan kurang tumpuan dalam bahagian pertahanan menyebabkan Palestin berjaya meledak tiga gol dalam masa hanya 10 minit menerusi Jonathan Cantillana pada minit ke-37, diikuti dengan dua jaringan daripada Ahmed Abu Nahyeh pada minit ke-38 dan minit ke-45.

Harimau Malaya cuba bangkit pada separuh masa kedua dan mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun seringkali gagal disudahkan, sebaliknya Palestin menambah tiga lagi gol menerusi Abu Nahyeh yang melengkapkan hatrik pada minit ke-58, Tamer Seyam pada minit ke-88 dan Jaka Ihbeisheh pada minit ke-92 sekaligus membunuh sisa-sisa perjuangan pemain-pemain negara untuk bangkit daripada terus dibolosi pihak lawan.

Malaysia kekal di tangga keempat dalam Kumpulan A dengan mengumpul empat mata daripada enam perlawanan. Pasukan negara akan meneruskan kempen kelayakan Piala Dunia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam tanpa kehadiran penonton pada 17 November ini.

Other posts by