Ketua jurulatih sementara pasukan Malaysia, Ong Kim Swee percaya pasukannya mempunyai kelebihan untuk mencipta kejutan terhadap Palestin dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung esok di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan.
Jurulatih berusia 44 tahun itu mahu pasukan negara menggunakan kesempatan sepenuhnya di atas keletihan para pemain Palestin kerana terpaksa bermain dua perlawanan dalam masa empat hari berbanding pasukan negara yang telah bersedia di Jordan sejak minggu lepas lagi.
Sungguhpun begitu, Ong masih menganggap Palestin sebagai pasukan pilihan kerana kualiti permainan yang ditunjukkan sehinggakan berjaya mengikat Arab Saudi 0-0 pada hari Isnin yang lalu.
“Berdasarkan perlawanan Palestin sebelum ini, mereka banyak menggunakan khidmat pemain muda. Namun kita tahu mereka merupakan lawan yang kuat kerana berjaya mencatat keputusan seri dengan Arab Saudi dan itu menjadi satu cabaran buat kita.
“Malah Palestin juga ada kelebihan kerana pemain-pemain mereka lebih serasi kerana sudah bermain bersama dalam masa yang singkat.
“Sebab itu kita perlu mengambil kesempatan di atas faktor keletihan pemain Palestin kerana kita tidak boleh sekali-kali mengambil mudah terhadap pihak lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Pasukan negara perlu berjaga-jaga dengan beberapa pemain Palestin terutamanya Sameh Maraaba dan Tamer Seyam yang masing-masing telah menjaringkan dua gol ketika Harimau Malaya tewas 6-0 kepada pasukan Timur Tengah itu pada 16 Jun yang lalu.
Other posts by Omar Zin